AM > BERITA

Hutan Percha Berpotensi Dibangunkan Sebagai Destinasi Pelancongan Rekreasi

31/01/2026 08:02 PM

ALOR GAJAH, 31 Jan (Bernama) -- Kawasan Hutan Percha di Machap Jaya di sini berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan rekreasi baharu untuk menarik pelancong, khususnya golongan yang meminati sukan mendaki dan mencintai alam semula jadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem berkata Hutan Rekreasi Bukit Percha yang baru dibuka untuk orang ramai sejak enam bulan lepas kini menjadi antara tarikan menarik yang boleh diteroka pengunjung tanpa mengira peringkat umur.

Beliau berkata terdapat tiga laluan untuk sampai ke puncak bukit berkenaan, iaitu trek 0.85 kilometer (km), trek dua (1.2 km) dan trek tiga (2.8 km).

Ad Banner
Ad Banner

"Laluan untuk ke puncak juga tidak terlalu mencabar dan agak santai, hanya memakan masa antara satu hingga satu jam setengah untuk sampai ke puncak dan pendaki dapat menikmati pemandangan kampung serta alam semula jadi yang cantik.

"Sejak Bukit Percha dibuka kepada orang ramai, lebih 700 pengunjung telah mendaki bukit berkenaan termasuk kanak-kanak dan warga emas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata selain pemandangan indah, kewujudan beberapa batu berlumut atau dikenali sebagai batu kuning menjadi tarikan untuk mereka yang gemar berswafoto.

Bagaimanapun, katanya beberapa kemudahan asas seperti tandas awam, gazebo, kawasan parkir, perlu dibangunkan di kawasan berkenaan bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengunjung.

Ngwe berkata penambahbaikan berkenaan akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menerusi peruntukan yang akan dimohon di bawah Rolling Plan Ke-3 (RP3) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Beliau berkata selain itu, kluster inap desa juga akan dibangunkan di kawasan Bukit Percha bagi menyediakan penginapan mencukupi kepada pelancong.

"Setakat ini, hanya terdapat lima unit inap desa, namun untuk menjadikan satu kluster, sekurang-kurangnya perlu ada 10 unit inap desa, sekali gus memudahkan sebarang permohonan bantuan daripada MOTAC,” katanya. 

Beliau berkata usaha yang bakal dilaksanakan itu dijangka turut memberikan impak ekonomi yang positif kepada penduduk setempat seperti peluang pekerjaan sebagai pemandu pelancong dan mewujudkan peniaga kecil yang menjual produk keluaran tempatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan