AM > BERITA

Bernama TV, Radio Raikan Ramadan Dan Tahun Baharu Cina Dengan Pengisian Menyeluruh

30/01/2026 08:27 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Susulan pertembungan Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina dalam kalendar 2026 ini, Bernama TV dan Bernama Radio mengambil pendekatan menyeluruh dengan menyusun pengisian yang mencerminkan nilai keagamaan, kepelbagaian budaya serta realiti masyarakat majmuk Malaysia menerusi program dan laporan khas di platform penyiarannya.

Ketua Bernama TV Nor Hamzeela Md Hambali berkata sepanjang bulan Ramadan, Bernama TV akan menerbitkan beberapa siri program dan laporan khas sebagai platform penambahan ilmu termasuk usaha membantu meningkatkan ekonomi masyarakat.

Antara program disediakan ialah demonstrasi dan temu bual bersama pengusaha kuih raya serta baju raya, selain kerjasama dengan asatizah yang dijemput sebagai tetamu di studio bagi mengimarahkan bulan mulia itu.

Ad Banner
Ad Banner

“Bernama TV turut memberikan perhatian pada kisah di sebalik ketabahan umat Islam yang terus bekerja dalam keadaan mencabar sepanjang berpuasa melalui kerjasama dengan beberapa syarikat tempatan,” katanya.

Sementara itu, Nor Hamzeela berkata suasana perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini akan diserlahkan menerusi Mandarin News Bernama TV yang tampil dengan set khas bertema Tahun Kuda, bermula 15 Feb, sehari sebelum reunion dinner atau makan besar sehingga hari Chap Goh Mei pada 3 Mac.

Katanya Mandarin News juga akan menyiarkan liputan khas bersiri Tahun Baharu Cina merangkumi lapan episod berdurasi lima minit setiap satu dari 15 Feb hingga 22 Feb, yang menelusuri aspek sejarah, seni, tradisi dan kehidupan masyarakat.

Antara topik yang diketengahkan ialah Movable Type Printing pada 15 Feb, Jurang antara Generasi Tua dan Muda dalam Menyambut Tahun Baharu Cina (16 Feb), Kisah dan Sejarah Perlumbaan Kuda di Malaysia (17 Feb), Tradisi Lagu Tahun Baharu Cina (18 Feb) serta Traditional Chinese Almanac Calendar (19 Feb).

Liputan khas itu turut memberikan tumpuan pada kisah Cina Muslim Malaysia Menyambut Tahun Baharu Cina dalam Bulan Ramadan (20 Feb), Perayaan Tahun Baharu Cina yang Diraikan oleh Pelbagai Kaum di Malaysia (21 Feb) serta Keistimewaan Iklan Tahun Baharu Cina (22 Feb).

Sementara itu, Pengurus Kanan Berita dan Persembahan Bernama Radio Endok Baleana Bachok, yang menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Ketua Radio berkata mereka akan tampil dengan pelbagai program khas Ramadan antaranya Fiqah Wanita Ramadan, Anggun, Jambatan Kasih Ramadan, Fawz Saghir fi Ramadan, Kotak Rezeki, Ibrah Hadis dan Reboot Ramadan.

Turut mengisi kelainan program radio pada Ramadan tahun ini ialah drama bersiri khas 20 episod bertajuk ‘Di Sebalik Senyap’.

Drama terbitan Amar Yusof yang dilakonkan sendiri petugas Bernama Radio itu mengangkat tema pengorbanan, kejujuran dan kekeluargaan menerusi kisah seorang bapa yang berdepan cabaran hidup demi memastikan Ramadan dan Aidilfitri keluarganya tetap bermakna.

Bernama Radio turut memperkukuh pengisian sempena Tahun Baharu Cina 2026 menerusi program temu bual khas Istimewa Tahun Baharu Cina 2026 yang bersiaran pada 17 Feb, termasuk topik Tuah Kuda Api: Siapa Bertindak, Dia Mendahului yang menampilkan pakar Feng Shui bagi berkongsi ramalan berkaitan kesihatan, rezeki, kerjaya, perniagaan dan hala tuju kehidupan.

Pada hari sama, program khas Tahun Baharu Cina turut menampilkan selebriti Dr Soo Wincci yang berkongsi persiapannya menyambut perayaan bersama keluarga, selain tradisi, adat pantang larang serta harapan dan azam sempena kedatangan tahun baharu.

Selain itu, Bernama Radio akan menerbitkan laporan khas yang mengetengahkan adat dan budaya tradisional masyarakat Cina dengan tumpuan kepada signifikan juadah makan besar serta simbolik pemberian limau sebagai lambang doa untuk kekayaan, tuah dan kesejahteraan menerusi temu bual bersama pengamal Feng Shui, Kenneth Leslie Chan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan