KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Kakitangan Grab Malaysia, rakan pemandu dan penghantar, rakan peniaga serta anggota komuniti berganding bahu menerusi inisiatif #GrabBersamaMalaysia untuk memulihkan ruang komuniti, berkongsi juadah dan menyokong keluarga di seluruh negara sepanjang Ramadan ini.
Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti Grab Malaysia Rashid Shukor dalam kenyataan memaklumkan Grab Malaysia bersama-sama GXBank dan Jaya Grocer serta Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah memberikan nafas baharu kepada Surau Nur Ramadhan, sebuah ruang komuniti yang sangat bermakna bagi penduduk Kampung Paya Seberang di Hulu Langat, Selangor.
Beliau berkata dengan semangat gotong-royong, kakitangan Grab, GXBank dan Jaya Grocer berganding bahu bersama dengan rakan pemandu dan penghantar serta penduduk kampung untuk mengecat semula, membaiki dan memperindah surau yang semakin usang itu supaya selesa digunakan oleh komuniti.
“Surau ini tempat komuniti berkumpul sepanjang Ramadan dan juga sepanjang tahun. Melihat rakan pemandu, rakan penghantar, kakitangan dan penduduk kampung bekerjasama memulihkan surau ini ketika mereka berpuasa benar-benar mencerminkan semangat #GrabBersamaMalaysia, iaitu sebuah komuniti yang saling menjaga antara satu sama lain,” katanya.
Rashid berkata pemulihan surau berkenaan adalah sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh yang sedang dijalankan di 16 lokasi di seluruh negara.
Selain itu, Grab Malaysia bersama dengan rakan pemandu dan penghantar turut menyediakan dan mengagihkan hampir 10,000 paket bubur lambuk sekali gus membawa tradisi berkongsi juadah panas ketika iftar kepada komuniti dari Kota Bharu, Kelantan hingga ke Sandakan, Sabah.
Menyedari kekuatan rakan pemandu itu datangnya daripada keluarga di rumah, Rashid berkata Grab Malaysia juga menganjurkan majlis iftar istimewa untuk rakan pemandu dan penghantar beserta keluarga mereka di Lembah Klang.
"Sebagai sebahagian daripada inisiatif dan juga dengan kerjasama LZS, kanak-kanak menerima duit raya manakala keluarga diberikan barangan harian daripada Jaya Grocer. Ini diadakan untuk mengiktiraf pengorbanan oleh keluarga yang menyokong ekonomi digital Malaysia setiap hari," katanya.
Semangat kesabaran dan kebaikan sepanjang Ramadan turut dizahirkan dalam filem jenama terbaharu Grab Malaysia berjudul Sabar’s on the Way yang diilhamkan daripada interaksi sebenar yang tular antara seorang rakan penghantar bernama Sabar dengan seorang pelanggan.
Rashid berkata muzikal komedi itu mengolah semula lagu klasik Tunggu Sekejap dipopularkan oleh seniman agung negara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berkisahkan perjalanan Sabar yang berdepan pelbagai cabaran tidak dijangka dalam usaha menyempurnakan satu penghantaran.
"Di sebalik unsur hiburan, filem ini turut mencerminkan usaha dan dedikasi di sebalik setiap pesanan, dengan meraikan komitmen rakan pemandu dan rakan penghantar Grab, sambil mengukuhkan kedudukan Grab sebagai aplikasi harian boleh dipercayai rakyat Malaysia untuk mendapatkan makanan, barangan runcit dan keperluan harian," katanya.
Filem jenama itu kini boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Grab Malaysia di https://www.youtube.com/watch?v=3TkYydumtwo dan https://www.instagram.com/reel/DV_Xi44EcNj/?igsh=NHl4aG91MTczMzBh serta https://vt.tiktok.com/ZSuCgq2aV/.
Mengimbas kembali inisiatif sepanjang Ramadan ini, Rashid berkata ia mencerminkan kepercayaan bahawa kemajuan harus memberikan manfaat kepada komuniti.
“Misi kami ialah untuk sentiasa berkembang bersama-sama Malaysia. Sama ada memulihkan ruang komuniti atau menyokong rakan-rakan kami beserta keluarga mereka, semua usaha ini mencerminkan kepercayaan kami bahawa kemajuan harus memberi manfaat kepada komuniti yang kami santuni,” katanya.
Beliau berkata melalui inisiatif seperti #GrabBersamaMalaysia, Grab Malaysia terus bekerjasama dengan rakan-rakan serta komuniti untuk memperkukuh hubungan dan menyebarkan semangat Ramadan ke seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial