AM > BERITA

Dana SPUMI Dinaikkan Kepada RM50 Juta, Sokong Usahawan India - Sim

28/01/2026 01:44 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Kerajaan memperkukuh sokongan terhadap ekosistem perniagaan masyarakat India melalui peningkatan dana Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) daripada RM30 juta kepada RM50 juta, tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berkata peningkatan dana tambahan itu adalah komitmen kerajaan dalam menyediakan capaian modal lebih luas selari dengan strategi ABCD yang diperkenalkan kementerian.

Beliau berkata setakat ini bagi 2026,  SPUMI telah berjaya menyalurkan RM4.089 juta kepada 136 usahawan masyarakat India di seluruh negara.

Ad Banner
Ad Banner

“Melalui inisiatif ini, KUSKOP (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi) komited dalam memberi capaian modal selari dengan strategi ABCD yang diperkenalkan,” katanya dalam sidang media di Pusat Media Parlimen, hari ini.

Strategi ABCD merangkumi Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran yang digariskan sebagai empat teras utama KUSKOP bagi memperkukuh daya saing perniagaan tempatan menjelang 2026 dan seterusnya.

Sementara itu, Sim berkata pihaknya akan menggerakkan 200 sukarelawan Wira KUSKOP di Georgetown, Pulau Pinang untuk Program KUSKOP MADANI Sempena Thaipusam 2026 pada 1 Feb ini bagi membantu pengurusan orang ramai serta golongan memerlukan.

Beliau berkata pasukan sukarelawan yang terdiri daripada belia pelbagai kaum berumur 17 hingga 30 tahun itu ditugaskan membantu warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU) sepanjang sambutan berlangsung.

“Selain khidmat sukarelawan, kementerian turut menyediakan kemudahan ruang rehat percuma di khemah utama KUSKOP MADANI yang mampu menampung sehingga 200 orang pada satu-satu masa. Ruang rehat ini dikhususkan kepada petugas barisan hadapan, warga emas, ibu, kanak-kanak, OKU serta penganut yang keletihan atau kurang sihat,” katanya.

Sim berkata sembilan agensi di bawah kementerian termasuk TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bank Rakyat dan SME Corp Malaysia turut menyertai reruai perkhidmatan tersebut bagi menawarkan khidmat nasihat latihan, bimbingan keusahawanan serta pendaftaran usahawan kepada pengunjung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan