AM > BERITA

Thaipusam : 10 Laluan Utama Di Ipoh Ditutup, Dilencongkan

28/01/2026 12:07 PM

IPOH, 28 Jan (Bernama) -- Sebanyak 10 laluan di sekitar bandar raya ini akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat sempena sambutan Thaipusam yang akan berlangsung pada 31 Jan hingga 3 Feb ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata penutupan jalan tersebut akan dilaksanakan selama empat hari bagi melancarkan perarakan pedati dari Kuil Sri Maha Mariamman, Sungai Pari, Buntong ke Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh serta perarakan balik melalui laluan yang sama.

“Perarakan pedati dari Kuil Sri Maha Mariamman, Sungai Pari, Buntong ke Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh akan bermula pada 31 Jan (Sabtu) pada 6 pagi dan dijangka selesai pada 12 tengah hari.

Ad Banner
Ad Banner

“Sementara perarakan balik pedati dari Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh ke Kuil Sri Maha Mariamman, Sungai Pari, Buntong akan bermula pada 3 Feb (Isnin) jam 5 petang dan dijangka berakhir pada 4 Feb (Selasa) jam 12 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara laluan yang akan ditutup secara berperingkat bermula dari Kuil Sri Maha Mariamman melalui Jalan Sungai Pari ke Jalan Tun Perak, Jalan Tun Perak–Jalan Lahat, Jalan Lahat–Jalan Perhentian, Jalan Lahat–Jalan Sultan Yusof, Jalan Sultan Yusof–Jalan Sultan Iskandar serta Jalan Sultan Idris Shah–Simpang Lampu Isyarat Jalan Laksamana.

Laluan lain yang turut ditutup ialah Jalan Sultan Idris Shah–Simpang Lampu Isyarat Jalan Raja Musa Aziz, Jalan Dato’ Onn Jaafar–Jalan Raja Musa Aziz, Jalan Raja Musa Aziz–Jalan Dato’ Ahmad Said serta Jalan Raja Musa Aziz–Bulatan Sultan Iskandar.

Sehubungan itu, Abang Zainal Abidin berkata orang ramai dinasihatkan menggunakan lapan laluan alternatif iaitu Jalan Kuala Kangsar, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Sultan Nazrin Shah, Jalan Raja Dihilir, Jalan C.M. Yusof, Jalan Yang Kalsom dan Jalan Sultan Abdul Jalil bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Seramai 500,000 orang dijangka menghadiri sambutan Thaipusam kali ini dan pihak polis menasihatkan semua pengguna jalan raya di sekitar bandar raya Ipoh agar merancang perjalanan serta menggunakan laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan semasa daripada polis trafik yang bertugas di lokasi penutupan dan lencongan semasa sambutan berlangsung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan