Oleh R.Vikneswaran
KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Kempen Internet Selamat 1.0 berjaya membawa impak signifikan dengan menyediakan pengetahuan asas untuk melindungi pengguna muda daripada risiko dalam talian, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam membina persekitaran siber yang lebih selamat untuk semua.
Pakar Kajian Media dan Sosialisasi Media Digital Prof Madya Dr Shafizan Mohamed berkata pelaksanaan kempen yang melibatkan lebih 8,000 sekolah dan hampir 370,000 pelajar setakat 30 Nov itu berjaya membawa isu keselamatan Internet ke perhatian umum serta memberikan pendedahan asas mengenai risiko seperti buli siber.
“Dari segi liputan, kempen ini telah mencapai sasaran kerana maklumat disampaikan secara meluas. Namun, kempen ini lebih bersifat kesedaran. Perlu ada usaha untuk mengukur keberkesanannya dari aspek perubahan tingkah laku,” katanya kepada Bernama.
Pensyarah Jabatan Komunikasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata tahap penerimaan maklumat dalam kalangan pelajar perlu diketahui agar dapat diterjemahkan kepada amalan harian yang selamat dan konsisten, terutamanya dalam konteks penggunaan Internet di rumah bersama keluarga.
Shafizan berkata Kempen Internet Selamat 2.0 perlu beralih daripada pendekatan kesedaran semata-mata kepada pembinaan keupayaan serta kemahiran praktikal berasaskan aplikasi sebenar dan tidak hanya bergantung pada poster, slogan atau ceramah.
Beliau berkata kandungan kempen juga perlu memanfaatkan platform digital popular seperti TikTok, WhatsApp dan Instagram bagi menyampaikan mesej keselamatan Internet secara lebih kontekstual dan dekat dengan realiti pengguna.
“Penyampaian mesej tidak seharusnya menakutkan, sebaliknya memberi panduan praktikal tentang langkah yang boleh diambil pengguna untuk melindungi diri dalam talian,” katanya.
Shafizan berkata beberapa isu memerlukan perhatian serius termasuk jurang literasi digital antara ibu bapa dengan anak-anak, normalisasi risiko seperti penipuan dan ucapan kebencian dalam talian serta keperluan meningkatkan literasi kecerdasan buatan (AI).
Katanya keselamatan Internet bukan tanggungjawab tunggal kanak-kanak dan remaja, sebaliknya memerlukan sokongan kolektif dengan melengkapkan ibu bapa melalui kemahiran praktikal serta melibatkan guru, komuniti, pemimpin dan pengamal media.
“Internet selamat ialah apabila pengguna sedar akan risiko yang wujud dan tahu bagaimana menanganinya. Ia tentang membentuk pengguna yang beretika, berhemah dan bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, seorang ibu, Rosalynd Low berkata tiada Internet yang benar-benar selamat terutamanya dengan perkembangan AI, namun Internet yang relatif selamat dapat mengelakkan penipuan, buli siber, serta akses kepada kandungan negatif seperti keganasan, dadah dan pornografi.
Ibu kepada dua anak berusia 16 dan 13 tahun itu berkata anak bongsunya tidak dibenarkan memiliki akaun media sosial, manakala akaun Instagram dan TikTok anak sulungnya dipantau rapi olehnya.
“Saya memantau apa yang mereka lakukan di laman permainan seperti Roblox, tetapi yang paling penting ialah komunikasi. Kami berbincang tentang trend terkini, berita, penipuan dan risiko, sementara mereka juga berkongsi dengan kami kandungan yang mereka tonton dan kami mendidik mereka bahawa banyak kandungan sebenarnya diolah, palsu dan dijana oleh AI.
“Antara cara (menggunakan Internet dengan selamat) ialah dengan mengesahkan berita. Jika ia dilaporkan oleh portal berita utama, ini bermakna ada kebenaran padanya, namun sudah tentu berita di portal utama juga perlu dinilai secara berhati-hati kerana sensasi dan sebagainya merupakan sebahagian daripada pelaporan berita dan perlu diambil kira,” katanya.
Pada 16 Dis lepas, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memperhebat pelaksanaan Kempen Internet Selamat 2.0 pada tahun ini bagi memperkukuh tahap keselamatan dalam talian khususnya melibatkan kanak-kanak dan keluarga.
Setakat Disember, Kempen Internet Selamat 1.0 telah melibatkan hampir 8,500 sekolah, melepasi sasaran awal 8,000 sekolah dengan penyertaan lebih 400,000 peserta menerusi pelbagai program kesedaran keselamatan Internet.
Sementara itu, MCMC mengumumkan bahawa sambutan Hari Keselamatan Internet 2026 akan diadakan pada 8 Feb di Taman Tasik Titiwangsa, di sini dengan memberi tumpuan terhadap usaha mempromosikan penggunaan Internet dan AI secara selamat, bertanggungjawab serta beretika.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial