KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM197 juta bagi kluster pendidikan sepanjang tahun ini, meningkat berbanding RM120 juta tahun lepas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata peruntukan itu meliputi pelbagai skim bantuan pendidikan termasuk biasiswa penuh dan bantuan sekali beri kepada pelajar sekolah serta penuntut universiti di dalam dan luar negara membabitkan golongan asnaf serta fakir miskin.
“Melalui pendidikan yang disediakan MAIWP, mereka berpeluang memperoleh ilmu, ijazah dan kemahiran, seterusnya menjadi golongan profesional atau usahawan cemerlang pada masa depan,” katanya selepas majlis penyerahan biasiswa pelajar cemerlang MAIWP di Menara MAIWP di sini hari ini.
Zulkifli berkata bagi Skim Bantuan Biasiswa Insentif Khas Pelajar Cemerlang, sebanyak 169 mahasiswa dan pelajar sekolah daripada golongan asnaf menerima bantuan membabitkan jumlah RM6.71 juta.
Beliau berkata bantuan berkenaan merangkumi pembiayaan yuran pengajian, perbelanjaan makan minum serta keperluan pembelajaran, termasuk pembiayaan penuh dan tiket penerbangan bagi pelajar yang melanjutkan pengajian ke luar negara.
"Daripada jumlah keseluruhan bantuan, MAIWP memperuntukkan RM5.63 juta kepada mahasiswa dalam negara, RM604,000 kepada mahasiswa luar negara dan RM470,500 kepada pelajar sekolah menengah,” katanya.
Mengenai mekanisme pemantauan penerima biasiswa, Zulkifli berkata MAWIP mempunyai sistem tadbir urus dan pemantauan yang kukuh, termasuk rekod audit bersih oleh Jabatan Audit Negara.
“Pemantauan bukan sekadar memastikan prestasi akademik, tetapi juga bertujuan memotivasikan pelajar supaya terus berusaha dan mengekalkan kecemerlangan dalam pengajian,” katanya.
Sementara itu, penerima biasiswa Abdul Hazim Salaman, 21, penuntut Ijazah Sarjana Muda Ekonomi di Universiti Malaya berkata bantuan berkenaan amat bermakna buat keluarganya yang berdepan kekangan kewangan, dengan bapanya bekerja sebagai buruh binaan manakala ibu seorang suri rumah.
Anak kedua daripada empat beradik itu berkata dia perlu melalui proses temu duga MAIWP sebelum berjaya menerima bantuan keseluruhan berjumlah kira-kira RM43,000 bagi tempoh tujuh semester pengajian.
“Biasiswa ini bukan sahaja membantu dari segi yuran pengajian, tetapi juga kos penginapan, buku dan keperluan sara hidup. Ia benar-benar meringankan beban dan membolehkan saya menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran untuk mengejar cita-cita menjadi perunding atau penasihat kewangan peribadi suatu hari nanti,” katanya.
Sementara itu, penerima biasiswa bagi pelajar sekolah menengah Auliya Mohamad Zuwairi, 14, berkata bantuan biasiswa berjumlah RM1,500 setahun diterimanya akan menyokong pembelajaran terutamanya bagi membayar yuran tuisyen, membeli buku latihan dan barangan alat tulis.
“Ini tahun kedua saya menerima bantuan. Saya perlu kekal cemerlang kerana syarat biasiswa MAIWP ini memerlukan saya memperoleh sekurang-kurangnya lima A dalam Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA), dengan Bahasa Melayu wajib A,” kata pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Permaisuri itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial