AM > BERITA

Thaipusam: Kawalan Kebersihan, Keselamatan Di Batu Caves Diperketat

25/01/2026 05:51 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Pihak pengurusan sambutan Thaipusam di Batu Caves meningkatkan aspek kebersihan kawasan dengan menambah bilangan tong sampah, selaras dengan penguatkuasaan larangan membuang sampah di tempat awam yang berkuat kuasa sejak 1 Jan lepas.

Pemegang Amanah Kuil Sri Mahamariamman Devasthanam Datuk N. Sivakumar berkata langkah itu bagi memastikan kawasan persekitaran kekal bersih dan teratur sepanjang sambutan perayaan berkenaan.

“Selaras dengan undang-undang yang telah dikuatkuasakan, soal aspek kebersihan terutamanya, kami telah sediakan lebih 300 tong sampah kecil selain tong sampah bersaiz besar bagi pengumpulan sisa menggunakan lori,” katanya kepada Bernama hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau turut menasihati penganut Hindu dan pengunjung supaya mematuhi garis panduan kebersihan yang telah ditetapkan serta membuang sampah di tempat yang disediakan.

Mengenai persiapan sambutan Thaipusam, Sivakumar berkata perancangan telah dibuat lebih awal dengan kerjasama rapat pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan acara.

“Persiapan menjelang sambutan Thaipusam bermula sejak 30 Jan termasuk pergerakan pedati.

“Persiapan itu dilaksanakan melalui kerjasama rapat dengan agensi kerajaan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala persiapan bagi pembawa paal kudam (kendi susu) dan kavadi telah dirancang dan dibuat dalam tempoh dua hingga tiga bulan,” katanya.

Pada sidang akhbar kemudiannya, Sivakumar berkata pengunjung dan penganut tidak dibenarkan membawa sebarang barangan berbahaya ke kawasan sambutan bagi mengelak insiden yang tidak diingini.

Beliau berkata pihak pengurusan dan agensi keselamatan akan memantau keadaan secara berterusan dan mengambil tindakan segera sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang.

Thaipusam, yang jatuh pada Ahad depan, adalah satu daripada perayaan Hindu paling penting dan acara kebudayaan utama di Malaysia, dengan Batu Caves sebagai tumpuan sambutan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan