AM > BERITA

Karnival Jualan Agro MADANI Kelantan Bantu Usahawan Raih Untung Lumayan

24/01/2026 06:08 PM

KOTA BHARU, 24 Jan (Bernama) -- Karnival Jualan Agro MADANI Kelantan yang berlangsung selama empat hari bermula 21 Jan di sini berjaya membantu usahawan terlibat meraih keuntungan lumayan sehingga tiga kali ganda berbanding jualan biasa.

Peniaga nasi beriani Mohd Yusri Mohd Ali, 43, berkata karnival berkenaan yang dianjurkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membuka ruang pemasaran yang luas kepada produk tempatan berikutan kehadiran jumlah pengunjung yang ramai.

"Alhamdulillah, keuntungan saya selama empat hari sepanjang penganjuran karnival ini telah melebihi RM12,000 dan saya letak sasaran untuk dapat lebih lagi.

Ad Banner
Ad Banner

"Saya juga rasa bertuah sebab dapat memperkenalkan resipi warisan keluarga dari Batu Pahat, Johor kepada rakyat Kelantan dan antara yang laris beriani kambing yang dijual pada harga RM20 serta beriani betis kambing (RM55)," katanya ketika ditemui Bernama di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, hari ini.

Peniaga nasi ulam dari Perlis, Suzana Hamid, 36, pula berkata dia tidak akan melepaskan kesempatan untuk menyertai program yang dianjurkan FAMA kerana ia banyak membuka peluang rezeki kepadanya.

"Nasi ulam yang saya jual ini melibatkan campuran 21 jenis ulam seperti daun bebuas, kemangi, cekur manis dan mengkudu, selain serunding ikan, halia, lengkuas dan kelapa yang digaul bersama.

"Permintaan di Kelantan cukup membanggakan sebab jualan saya telah mencapai sasaran dan saya bersyukur kerana ramai yang meminati nasi ulam saya yang dijual pada harga RM7," katanya yang merupakan generasi keempat mewarisi resipi makanan warisan itu.

Sementara itu, seorang pengunjung, Bezini Ahmad, 68, berkata karnival seumpama ini dilihat mampu menjadi medan strategik untuk memperkukuh rantaian pemasaran, meningkatkan daya saing produk tempatan serta merancakkan ekonomi komuniti setempat.

Penganjuran karnival yang berlangsung selama empat hari bermula 21 Jan itu menawarkan pelbagai tarikan untuk menarik kehadiran orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Antara fokus utama ialah Jualan Istimewa Kombo MADANI, termasuk pakej barangan keperluan asas seperti telur, ayam dan sayur-sayuran pada harga promosi serendah RM5 hingga RM10, selain turut menampilkan lima kluster utama merangkumi kluster makanan popular dan tular, kluster segar, kluster industri asas tani, kluster florikultur dan pameran jabatan serta agensi kerajaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan