IPOH, 22 Jan (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah melaksanakan sebanyak 3,607 Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) sepanjang tahun lepas, dengan 732 daripadanya adalah Program MEKAR Komuniti dengan menggunakan pendekatan turun padang.
Menurut kenyataan JPN, jabatan itu akan terus menggunakan pendekatan tersebut sebagai manifestasi komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan prinsip keterangkuman dan keadilan sosial terus diperkasakan dengan menjamin setiap warganegara yang layak tidak tercicir.
"JPN akan terus melaksanakan pendekatan turun padang melalui Program MEKAR Komuniti bagi memastikan akses kepada perkhidmatan pendaftaran negara disampaikan secara inklusif, terutamanya kepada komuniti yang tinggal di kawasan pedalaman dan sukar diakses," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, JPN melalui Program MEKAR Komuniti telah turun padang meredah kawasan pedalaman hutan Royal Belum dekat Gerik bagi penyerahan dokumen pengenalan diri kepada masyarakat Orang Asli.
Menurut JPN, penyerahan dokumen itu melibatkan 31 penerima di Kampung Sungai Kejar dan 21 penerima di Kampung Sungai Tiang, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Banun.
JPN memaklumkan penyerahan dokumen merangkumi MyKad, Sijil Kelahiran (Daftar Lewat) dan MyKid itu akan membolehkan penerima mengakses pelbagai perkhidmatan penting Kerajaan, seperti bantuan subsidi, pendidikan dan penjagaan kesihatan.
Program MEKAR Komuniti itu menurut JPN turut meringankan beban masyarakat yang majoritinya mencari hasil hutan, bekerja kampung dan nelayan.
"Sebelum ini mereka terpaksa menempuh perjalanan jauh tanpa akses jalan darat, mengambil masa hampir dua jam ke Pekan Gerik dan menanggung kos untuk mendapatkan perkhidmatan JPN.
"Kehadiran pasukan JPN terus ke kawasan mereka kali ini telah memudahkan urusan pendaftaran dan membuktikan komitmen Kerajaan MADANI bagi memastikan setiap warga yang layak mendapat perkhidmatan setara walaupun tinggal di lokasi sukar diakses," menurut kenyataan itu.
Program yang dilaksanakan JPN Perak dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Perak itu disertai Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Badrul Hisham Alias termasuk pengurusan tertinggi JPN.
Hadir sama Timbalan Pengarah JAKOA Perak dan Kedah Kairul Amilin Ibrahim, Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah Hulu Perak dan Baling Zakaria Mohd Nor serta Tok Batin kedua-dua kampung tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial