AM > BERITA

Kluang TV Coffee Rekod 91,056 Pelawat Tahun Lepas, Terima Pengiktirafan ASEAN Records

22/01/2026 09:34 PM

KLUANG, 22 Jan (Bernama) -- Jenama kopi tempatan, Kluang Coffee Powder Factory Sdn Bhd (Kluang TV Coffee) menerima pengiktirafan “Kilang Kopi Warisan Diperakui Negeri Paling Banyak Dikunjungi Dalam Setahun” daripada ASEAN Records, bersempena sambutan ulang tahun ke-60 jenama tersebut.

Kluang TV Coffee menerima pengiktirafan tersebut, selepas berjaya merekodkan seramai 91,056 pelawat berdaftar sepanjang tempoh Januari hingga Disember tahun lepas dan perkara itu telah disahkan oleh ASEAN Records.

“Pencapaian tersebut mengiktiraf peranan kilang berkenaan sebagai tapak warisan budaya kopi yang turut diiktiraf oleh kerajaan negeri (Johor) serta sumbangannya dalam mempromosikan budaya kopi tempatan dan sektor pelancongan,” menurut kenyataan Kluang TV Coffee.

Ad Banner
Ad Banner

Pengiktirafan berkenaan disampaikan Pengarah Urusan ASEAN Records Gillian Ooi kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kluang Coffee Powder Factory Goh Yong Kian pada Majlis Pengiktirafan ASEAN Records dan Majlis Pecah Tanah Projek Pembesaran Kilang, di sini hari ini.

Kluang TV Coffee atau nama asalnya Kopi Kluang Cap Televisyen mula diasaskan sejak 1966 di Jalan Mersing dan kini diusahakan oleh generasi ketiga jenama itu.

Kluang TV Coffee memaklumkan majlis pecah tanah bagi pembesaran kilang di tapak bersebelahan kilang sedia ada, melambangkan kemajuan jenama pengeluar Kopi Cap Televisyen itu ke fasa pembangunan seterusnya tanpa mengabaikan asas tradisi pembuatan kopi. 

Sementara itu Goh ketika ditemui berkata pengiktirafan berkenaan penting bagi pihaknya, sebagai bukti bahawa Kopi Cap Televisyen tetap menjadi pilihan walaupun telah 60 tahun berada dalam pasaran.

“Antara sebab utama Kluang TV Coffee tetap menjadi pilihan ialah resepi yang sama sejak hari pertama ia dibuka menerusi mendiang datuk saya Goh Tong Tor,” katanya.

Goh berkata beliau turut mengekalkan teknik daripada menyangai sehinggalah teknik bru kopi daripada datuknya itu, selain turut meneruskan tradisi untuk berkongsi teknik pembuatan kopi kepada umum.

“Tidak semua kilang kopi di negara ini mahu berkongsi teknik pembuatan kopi tetapi berbeza dengan kami, daripada biji kopi sampai ke dalam cawan untuk dinikmati, pengunjung boleh lihat di sini.

“Kami memilih tiga jenis biji kopi iaitu jenis Robusta dari Indonesia, Arabica dari Brazil dan Liberica (tempatan), kerana ia bukan sahaja menjadi pilihan penggemar kopi dalam negara tetapi turut diminati oleh pengunjung luar.

Beliau berkata pihaknya turut menggabungkan teknologi lama dan terkini untuk penghasilan kopi yang lebih banyak, dengan mampu memproses lebih kurang 5,000 kilogram kopi dalam masa sehari.

“Walaupun pengeluaran kopi kita tumpukan lebih untuk pasaran tempatan, tetapi jualan telah mula menembusi beberapa negara ASEAN iaitu Singapura, Brunei dan Filipina,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut bercadang meningkatkan pengeluaran sehingga tiga kali ganda bagi menembusi pasaran negara ASEAN lain, setelah projek pembesaran kilang siap dan beroperasi kelak. 

“Tahun ini kami turut merancang mengeluarkan produk baharu yang dikenali sebagai ‘Kopi Tulen’ yang dihasilkan tanpa campuran gula dan marjerin, sekali gus menjadikan jenama ini sebagai produk kopi sihat dan sesuai untuk dinikmati oleh semua,” katanya.

Tourism Johor dalam hantaran di Facebook pula memakluman pengiktirafan ini, mengukuhkan kedudukan Kluang TV Coffee sebagai ikon warisan kopi tempatan dan tarikan pelancongan utama Johor, selari aspirasi Tahun Melawat Johor 2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan