Ad Banner
 AM > BERITA

Perkhidmatan Berkualiti Teras Pertumbuhan Perniagaan - Oriental Kopi 

18/02/2026 06:47 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Pengurusan tenaga kerja mantap dan kualiti produk konsisten kekal sebagai teras pertumbuhan dalam industri makanan dan minuman (F&B) Malaysia yang kompetitif, susulan transformasinya daripada kopitiam kepada syarikat tersenarai awam, menurut Oriental Kopi.

Bercakap selaku tetamu program The Nation terbitan Bernama TV hari ini, ketua pegawai eksekutifnya Datuk Calvin Chan berkata penyenaraian dan pengembangan itu telah memperluas tanggungjawab syarikat, terutamanya melibatkan kebajikan pekerja dan kepentingan pelanggan.

“Sebelum ini, kami bermula dengan hanya lima staf, tetapi kini mempunyai lebih 2,000 pekerja. Mengurus tenaga kerja menjadi cabaran dan tanggungjawab terbesar,” katanya sambil menambah bahawa mengekalkan kualiti perkhidmatan di setiap cawangan memerlukan penglibatan berterusan dengan staf. 

Ad Banner
Ad Banner

Chan berkata berbanding kos bahan mentah yang mudah diurus atau dirunding, untuk mengekalkan konsistensi penyediaan makanan, standard perkhidmatan dan latihan staf ia memerlukan perhatian dan pemantauan berterusan.

Beliau kerap melawat cawangan untuk bertemu secara langsung dengan pekerja serta memahami cabaran operasi, khususnya semasa musim perayaan apabila berlaku kekurangan tenaga kerja susulan staf bercuti. 

Kebanyakan cawangan tetap dibuka semasa sambutan Tahun Baharu Cina, dengan pihak pengurusan turun padang membantu operasi apabila perlu, katanya.

Mengenai strategi perniagaan, Chan berkata kumpulan itu mengutamakan kawalan kualiti berbanding pengembangan perniagaan melalui francais, dan berdasarkan pengalaman perniagaan terdahulu beliau, untuk mengekalkan mutu yang konsisten terbukti sukar apabila dijalankan melalui francais.

Selain operasi restoran, produk berbungkus seperti sapuan kaya, kopi putih dan sambal telah berkembang menjadi segmen penting bagi jenama itu, yang pada awalnya didorong permintaan pelanggan yang mahu menikmati produknya di luar premis atau di luar negara.

Beliau berkata produk berkenaan kini turut menjadi “buah tangan” popular dalam kalangan pelancong yang berkunjung ke Malaysia.

Chan turut menggalakkan usahawan baharu memulakan perniagaan dengan perancangan rapi, dan  menyarankan sekurang-kurangnya enam bulan persediaan termasuk mengenal pasti rakan kongsi yang sesuai serta menjalankan kajian pasaran.

Mengenai perancangan masa hadapan, beliau berharap syarikat itu dapat berkembang ke peringkat antarabangsa dengan membawa cita rasa kopitiam Malaysia ke pasaran luar negara, meskipun tiada pelan pengembangan ke luar negara yang dimuktamadkan setakat ini.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan