KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Lebih 200 dewasa neurodivergent berjaya ditempatkan dalam sektor pekerjaan menerusi latihan vokasional dan sokongan tempat bekerja berstruktur yang disediakan oleh Generating Opportunities for Learning Disabilities (GOLD), menekankan impak laluan pekerjaan inklusif yang dibentuk berdasarkan kekuatan individu.
Pengasas GOLD Juairiah Johari berkata organisasi itu yang ditubuhkan pada 1998, menyokong golongan dewasa neurodivergent dalam membuat persediaan untuk pekerjaan dan mendapatkan penempatan kerja, sekali gus membolehkan mereka beralih daripada pengasingan kepada penyertaan aktif dalam masyarakat.
Juairiah, seorang tenaga pengajar pendidikan khas dengan pengalaman lebih dua dekad dalam latihan vokasional dan sokongan pekerjaan, berkata GOLD terus memperluas laluannya ke arah keyakinan, maruah dan tujuan hidup, di samping membuktikan bahawa keterangkuman bukanlah satu kebajikan, tetapi akses.
"Inisiatif yang dilaksanakan oleh GOLD ini merangkumi latihan vokasional, dengan bengkel dan sesi interaktif dibentuk untuk meningkatkan keyakinan dan kebolehan berdikari.
"Sesi penglibatan keluarga turut membantu dengan mendidik dan melibatkan ahli keluarga dalam perjalanan perkembangan individu, manakala satu pasukan profesional yang khusus menyediakan sumber dan galakan pada setiap peringkat," katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.
GOLD ialah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar dan perusahaan sosial yang memperkasakan dewasa neurodivergent, serta rakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) utama EDOTCO di Malaysia.
Juairiah berkata GOLD memberikan tumpuan kepada golongan dewasa berusia 19 tahun ke atas yang mempunyai keadaan neurodivergent seperti gangguan spektrum autisme, sindrom Down, gangguan Hiperaktif dan Kurang Tumpuan (ADHD), sindrom Williams dan sindrom Prader-Willi.
Sementara itu, sukarelawan GOLD Yusran Ahzam menyokong model pekerjaan berasaskan kumpulan yang memanfaatkan kekuatan unik individu neurodivergent.
Beliau berkata individu neurodivergent mentafsir sesuatu perkara dengan cara berbeza, yang kadangkala boleh menjadi lebih baik daripada individu neurotipikal kerana golongan itu mempunyai prosedur operasi standard (SOP) tersendiri dalam pemikiran mereka.
Yusran berkata falsafah ini menjadi asas kepada program Kindness Kitchen oleh GOLD, dengan peserta bekerja bersama-sama dalam persekitaran restoran, serta setiap individu diberi peranan dan tanggungjawab khusus.
"Program ini membuktikan bahawa dengan bimbingan yang betul, individu neurodivergent ini mampu cemerlang dalam persekitaran berstruktur.
"Melihat kepada program Kindness Kitchen ini, masing-masing mempunyai tugas sendiri, beroperasi seperti restoran biasa dan mereka semua mampu menggalas peranan dengan sangat baik," katanya.
Beliau berkata projek perintis itu memerlukan kira-kira RM250,000 untuk dilaksanakan, dengan pembiayaan tambahan diperlukan untuk memperluas inisiatif berkenaan. Sekiranya berjaya, GOLD merancang untuk mencontohi model latihan berasaskan latihan merentasi industri lain, menyesuaikan program dengan keperluan syarikat rakan kongsi.
"Kerjasama dengan syarikat makanan dan minuman (F&B) tempatan ialah komponen utama, kerana peserta memperoleh kemahiran praktikal dan pendedahan kepada jangkaan dunia sebenar, sekali gus dapat meningkatkan kebolehpasaran dan keyakinan mereka," katanya.
Yusran berkata GOLD juga berhasrat meluaskan peluang pekerjaan kepada individu neurodivergent ini dengan memanfaatkan kekuatan mereka dalam bidang seperti penjagaan warga emas, dengan matlamat untuk menggalakkan penyertaan yang lebih luas dan pekerjaan yang mampan.
Walaupun mempunyai kekuatan dan keupayaan tersendiri, inidividu neurodivergent sering berdepan dengan cabaran dalam mendapat pekerjaan disebabkan kurangnya kesedaran masyarakat tentang cara berinteraksi dan berkomunikasi dengan mereka, kata Yusran.
"Mereka juga sama seperti kita, tetapi dengan cara pemikiran berbeza. Perkara ini yang paling membimbangkan kami apabila membantu mereka mendapatkan pekerjaan, walaupun syarikat bersetuju untuk mengambil mereka bekerja, petugas syarikat itu perlu belajar cara berkomunikasi yang berkesan dengan mereka," katanya.
Yusran berkata banyak pekerja neurodivergent dibuli dan diasingkan di tempat kerja kerana kurang kefahaman dalam kalangan rakan sekerja, sekali gus menekankan keperluan persekitaran yang menyokong dan pendidikan berterusan bagi memastikan mereka bukan sahaja diterima, malah diperkasakan untuk berkembang maju.
Menyedari cabaran ini, EDOTCO mengambil langkah proaktif untuk memupuk keterangkuman bagi individu ini.
Pengarah Hal Ehwal Korporat Kumpulan EDOTCO Noreen Sabrina berkata syarikat itu mula bekerjasama dengan GOLD kerana memahami kesukaran dan keperluan terhadap keterangkuman.
"Dengan membenarkan petugas kami menyertai Projek Kindness Kitchen, kami dapat belajar tentang kaedah berinteraksi dan berkomunikasi dengan komuniti neurodivergent.
"Langkah ini sebagai persediaan pasukan kami mengambil individu neurodivergent bekerja di syarikat ini pada masa depan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial