AM > BERITA

Kemasukan Tahun 1 Usia Enam Tahun Fleksibel, Bergantung Kesediaan Ibu Bapa, Murid 

20/01/2026 04:40 PM

PUTRAJAYA, 20 Jan (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan kemasukan awal kanak-kanak berusia enam tahun ke tahun satu akan dilaksanakan secara fleksibel, bukan bersifat wajib dan hanya melibatkan ibu bapa serta murid yang telah bersedia, kata Menterinya Fadhlina Sidek.

Beliau berkata ibu bapa perlu menilai kesediaan anak-anak mereka sebelum pendaftaran ke sekolah, manakala KPM akan menjalankan ujian diagnostik untuk mengenal pasti tahap asas pendidikan dan keperluan khusus setiap murid.

“Ini penting jika anak tidak bersedia dari segi psikologi dan emosi, kita tidak mahu ada impak kepada anak itu. Sebab itu, ibu bapa kenal pasti, kemudian KPM akan buat ujian ddaiagnostik dari segi psikomotor dan sebagainya.

Ad Banner
Ad Banner

“Tahun ini, KPM akan menetapkan satu garis masa bagi pengumpulan data kanak-kanak berusia enam tahun di seluruh negara dan ibu bapa yang mendapati anak mereka telah bersedia boleh meneruskan proses pendaftaran sebelum kanak-kanak berkenaan memulakan persekolahan di tahun satu pada 2027,” katanya.

Fadhlina berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035, di sini hari ini.

Terdahulu ketika pelancaran RPN 2026-2035, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bermula 2027, kanak-kanak yang berusia enam tahun boleh mengikuti pembelajaran tahun satu, namun ia tidak wajib dan bergantung kepada ibu bapa.

Mengulas kebimbangan kemungkinan berlaku lambakan murid dan isu prasarana sekolah tahun hadapan, Fadhlina menjelaskan pelaksanaan akan dibuat secara berperingkat dengan mendahulukan kanak-kanak yang benar-benar bersedia.

“Kegusaran ibu bapa pastilah tentang prasarana. Bila dah ramai kohort masuk tahun satu, pastilah isu prasarana akan menjadi isu tumpuan utama. Penyelesaiannya ialah kita mulakan dengan yang bersedia dahulu. Daripada data yang kita kumpul, barulah kita boleh susun persiapan termasuk prasarana,” katanya.

Beliau berkata kohort sedia ada murid berusia tujuh tahun akan diteruskan seperti biasa, manakala penambahan murid enam tahun ke tahun satu akan dibuat berdasarkan data dan kesiapsiagaan sekolah.

Fadhlina turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak panik, sebaliknya menilai tahap kesediaan anak masing-masing bersama pihak KPM dan mengalu-alukan kanak-kanak yang benar-benar bersedia untuk memulakan pembelajaran lebih awal daripada kelaziman.

Guru juga bakal diunjurkan mengikut keperluan murid dan semua persiapan akan dilakukan bagi memastikan peralihan kanak-kanak ke sekolah rendah berjalan lancar.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan