AM > BERITA

Titah Agong Tuntut Tindakan Menyeluruh Perangi Rasuah, Salah Guna Kuasa - Fahmi

19/01/2026 02:44 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menegaskan usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa perlu dijalankan secara menyeluruh dan bukan sambil lewa, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata titah Seri Paduka Baginda, yang disampaikan pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 hari ini, turut menekankan keperluan memperkukuh tatakelola dan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang isu rasuah.

Fahmi, yang juga jurucakap Kerajaan MADANI, menyifatkan titah itu sebagai peringatan tegas kepada semua pihak, termasuk Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Ad Banner
Ad Banner

“Titah Seri Paduka Baginda seharusnya menjadi pengingat tegas kepada semua, sama ada yang terlibat atau pernah melakukan rasuah. Kita yang dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara mesti menjadi contoh dan berada di barisan hadapan dalam usaha memerangi rasuah.

“Walaupun titah Tuanku hanya sekitar 15 hingga 18 minit, ia sangat padat dan sarat dengan pesanan serta peringatan, termasuk arahan jelas kepada pihak kerajaan dan badan penguatkuasa untuk mengambil tindakan,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri istiadat berkenaan hari ini.

Mengulas bidang tugasnya, Fahmi berkata beliau menjunjung titah Sultan Ibrahim berkaitan usaha menangani kemudaratan dalam talian, termasuk isu deepfake dan penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI).

Beliau menegaskan kerajaan mahu memastikan persekitaran digital lebih selamat sejajar dengan capaian Internet yang kini lebih laju, murah dan meluas.

Pada masa sama, Fahmi berkata kerajaan perlu meneliti proses perolehan dan tatakelola, termasuk kemungkinan penggunaan sistem digital yang lebih telus dan terbuka untuk menambah baik proses sedia ada.

“Mungkin penggunaan sistem digital yang lebih telus dan terbuka akan membantu menambah baik proses sedia ada, dan ini memerlukan penelitian lebih mendalam,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan