KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Umat Islam menyambut 1 Syawal dengan menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid serta surau di seluruh negara dalam suasana penuh kesyukuran dan kemeriahan.
Cuaca baik dimanfaatkan sepenuhnya dengan mereka mula memenuhi masjid dan surau seawal 7 pagi untuk bertakbir sebelum menunaikan solat sunat itu serta mendengar khutbah raya.
Di ibu negara, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau Utama Istana Negara.
Hadir sama ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis, menteri-menteri Kabinet serta para perwakilan asing.
Di PERAK, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama-sama kira-kira 2,000 jemaah di Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar.
Selesai menunaikan solat, Sultan Nazrin menziarahi pusara ayahanda baginda, Almarhum Sultan Azlan Shah di Makam Diraja.
Di KEDAH, Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Zahir di Alor Setar dengan lebih 2,000 jemaah yang turut disertai Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Di PERLIS, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama-sama lebih 2,000 jemaah di Dataran Istiadat Istana Arau yang dipimpin Imam Besar Perlis Ustaz Amnan Wuthqa Azanol.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda baginda berdua turut berangkat menunaikan solat sunat di situ, yang juga disertai Menteri Besar Abu Bakar Hamzah.
Di TERENGGANU, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri dengan lebih 2,500 jemaah di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu.
Hadir sama ialah Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan solat sunat Aidilfitri diimamkan Mufti Terengganu Datuk Mohamad Sabri Harun.
Di PAHANG, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan.
Baginda berdua diiringi anakanda termasuk Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah selain hadir sama ialah Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Di SELANGOR, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud tiba di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Kuala Pilah pada 8.28 pagi bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama-sama lebih 1,000 jemaah.
Solat dipimpin Imam Abdul Rahman Ibrahim dan yang turut hadir ialah Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Selesai menunaikan solat, baginda kemudiannya beramah mesra bersama jemaah sebelum bergerak ke Istana Besar Seri Menanti bagi menghadiri Majlis Jamuan Rakyat.
Di JOHOR, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Sultan Abu Bakar, Johor Bahru bersama-sama lebih 2,000 jemaah, pagi ini.
Solat sunat Aidilfitri yang disertai Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi itu dipimpin Imam Besar Negeri Johor Ustaz Muhamad Bukharuddin Ismail.
Di KELANTAN, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra berangkat menyertai ribuan jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Jamek Muhammadi, Kota Bharu.
Baginda diiringi Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Di PULAU PINANG, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib dan isteri Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama-sama 5,000 umat Islam di Masjid Al Bukhary Pulau Pinang, George Town.
Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan isteri Toh Puan Asmah Abdul Rahman menyertai 3,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Masjid Al-Azim, Bukit Palah.
Di SABAH, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri bersama-sama ribuan jemaah di Masjid Negeri Sabah yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negeri Suhaidi Kuanting.
Sementara itu, di SARAWAK, Yang Dipertua Negeri Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyertai kira-kira 5,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Jamek Negeri, Petra Jaya sebelum dijadualkan mengadakan majlis rumah terbuka di Astana Negeri Sarawak dari 9 pagi hingga 4 petang.
Di PUTRAJAYA, lebih 3,000 jemaah termasuk warga asing, khususnya penuntut institusi pengajian tinggi sekitar pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu memenuhi Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin yang turut dikenali sebagai “masjid besi” seawal 7.30 pagi bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial