AM > BERITA

Mohammad Faisal Dilantik Sebagai KP Baharu ITC Untuk Perkukuh Ekosistem Pelancongan Mesra Muslim

19/01/2026 12:26 PM

PUTRAJAYA, 19 Jan (Bernama) -- Pusat Pelancongan Islam (ITC) mengumumkan pelantikan Mohammad Faisal Abu Suaib Khan sebagai Ketua Pengarah baharu berkuat kuasa hari ini, langkah strategik bagi memperkukuh kepimpinan Malaysia dalam menerajui ekosistem pelancongan mesra Muslim di peringkat global.

Mohammad Faisal, yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang korporat dan komunikasi digital, memiliki portfolio profesional kukuh merangkumi sektor pelancongan, pengurusan acara serta inisiatif berfokuskan destinasi.

Kenyataan ITC memaklumkan penglibatan Mohammad Faisal dalam syarikat yang menguruskan acara pelancongan Malaysia serta program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) telah memberikan pendedahan meluas kepada beliau berkaitan landskap pelancongan domestik dan antarabangsa.

Ad Banner
Ad Banner

"Berbekalkan pengalaman luas beliau dalam bidang korporat dan perniagaan, Mohammad Faisal telah diamanahkan untuk menerajui ITC ke fasa pertumbuhan berikutnya menerusi inisiatif transformasi yang memanfaatkan perkembangan pasaran pelancong Muslim, yang diunjurkan mencecah USD235 bilion di peringkat global menjelang 2030," menurut kenyataan itu.

ITC turut memaklumkan bahawa pelantikan beliau mencerminkan hasrat strategik agensi berkenaan untuk terus memperkukuh kepimpinan globalnya dalam ekosistem Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH).

Mengulas mengenai pelantikan beliau, Mohammad Faisal berkata tumpuannya pada 2026 ialah meletakkan ITC sebagai pemudah cara utama dalam memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab umrah serantau di samping memperluas jangkauan antarabangsa inisiatif Pengiktirafan serta Jaminan Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFAR) di pasaran keutamaan.

"Saya tidak sabar untuk berinteraksi secara rapat dengan pemain industri pelancongan dan rakan sejawat bagi membina kepercayaan serta memberikan nilai jangka panjang kepada ekonomi," katanya.

Mohammad Faisal turut terlibat secara aktif dalam wacana serantau dan antarabangsa.

Pada 2024, beliau telah menghadiri Dialog mengenai Inovasi Imej Antarabangsa di Beijing, China iaitu sebuah forum yang menghimpunkan para pemimpin media dan komunikasi dari seluruh dunia.

Sebagai produk sistem sekolah Cina di Malaysia, Mohammad Faisal fasih berbahasa Mandarin, kelebihan yang telah membantu penglibatan profesional beliau dan usaha membina hubungan di China.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), yang mengkhusus dalam kepimpinan, dan kini melanjutkan pengajian bagi memperoleh Doktor Falsafah dalam Pentadbiran Perniagaan (DBA) di Universiti Utara Malaysia (UUM).

ITC merupakan entiti di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang bertanggungjawab membangunkan segmen Pelancongan Islam bagi Malaysia.

Ia mempromosikan pelancongan mesra Muslim dengan menawarkan penyelidikan dan maklumat pasaran, latihan, khidmat perundingan pembangunan industri, piawaian perkhidmatan serta pengiktirafan MFTH selain pertukaran maklumat.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan