AM > BERITA

Kompleks Mini NRES Sabah Bernilai RM80.9 Juta Dijangka Siap 2029

17/01/2026 11:05 AM

KOTA KINABALU, 17 Jan (Bernama) -- Pembinaan Kompleks Mini Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Sabah melibatkan kos RM80.9 juta dijangka siap sepenuhnya pada awal 2029, kata Menteri berkenaan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata kontraktor telah mula memasuki tapak projek seluas 6.77 hektar di Kepayan, di sini berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada penghujung tahun lepas, dan pembinaannya dijangka mengambil masa kira-kira 40 bulan.

Arthur berkata kompleks itu bakal menempatkan empat jabatan di bawah NRES, iaitu Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) serta Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang beroperasi di negeri ini.

Ad Banner
Ad Banner

“Sebelum ini, keempat-empat pejabat jabatan ini berselerak, memang (kompleks ini) sangat memudahkan sebab sebelum ini kebanyakan pejabat masih menyewa di kompleks di sekitar Kota Kinabalu.

“Jadi, kompleks ini akan memusatkan kesemua empat jabatan ini di satu lokasi yang memudahkan tugas kita, sekali gus menamatkan penantian untuk memiliki bangunan dan aset sendiri di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek itu di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin.

Arthur berkata pembinaan kompleks itu bukan sahaja menjimatkan kos sewaan, tetapi juga bakal meningkatkan kecekapan pengurusan dan gerak kerja kementerian melalui pemusatan operasi, mesyuarat serta latihan di satu lokasi strategik.

Beliau berkata bangunan itu juga akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk dewan serba guna, makmal JMG, gudang serta pejabat pengurusan, selain menerapkan elemen teknologi hijau dalam bangunan itu sendiri.

“Yang istimewa tentang kompleks ini ialah ciri-ciri kehijauan yang dimasukkan bagi memastikan bangunan ini selari dengan dasar kerajaan untuk meningkatkan amalan lestari dalam industri pembinaan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan