SUKAN > BERITA

Pearly-Thinaah Terkandas Di Separuh Akhir Terbuka India

17/01/2026 04:31 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah terpaksa melupakan hasrat untuk mara ke pentas final Terbuka India 2026 selepas disingkirkan pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto pada aksi separuh akhir di New Delhi, hari ini.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Indira Gandhi, gandingan Jepun itu tampil lebih bertenaga untuk menundukkan Pearly-Thinaah 21-16, 21-13 dalam tempoh 46 minit, sekali gus menamatkan kemaraan pasangan pilihan kedua kejohanan itu.

Thinaah mengakui kelincahan serta kepantasan pergerakan Fukushima-Matsumoto memberi tekanan berterusan sehingga menjejaskan kekuatan pertahanan mereka, sekali gus membuka ruang buat lawan mengatur serangan dengan lebih berkesan.

“Dalam perlawanan ini, pihak lawan benar-benar memberi tekanan menerusi serangan pantas mereka dan situasi itu menyebabkan pertahanan kami kurang mantap. Ini aspek yang perlu kami perbaiki dan lebih berwaspada, terutama apabila berdepan lawan yang bermain pada tempo tinggi.

“Pada masa sama, kami perlu lebih peka ketika bertahan serta tampil lebih agresif dan berani dalam corak permainan,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan, hari ini.

Kekalahan itu menyaksikan Pearly-Thinaah mengulangi pencapaian edisi lalu apabila turut terkandas di peringkat separuh akhir.

Selepas ini, Pearly-Thinaah dijadual meneruskan cabaran negara pada kejohanan Masters Indonesia di Istora SEnayan, Jakarta, bermula Selasa ini, dengan bertemu gandingan Amerika Syarikat, Francesca Corbett-Jennie Gai pada pusingan pertama.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan