AM > BERITA

Solat Asas Pembinaan Keadilan, Keharmonian Sejagat - PM Anwar

16/01/2026 11:21 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata antara peristiwa agung dalam perjalanan Israk dan Mikraj Rasulullah SAW ialah penerimaan langsung perintah solat lima waktu sebagai ibadah teras dalam kehidupan seorang Muslim.

Beliau berkata solat bukan sekadar ibadah rutin, sebaliknya mempunyai dimensi yang luas dengan kesan mendalam bukan sahaja kepada pembentukan diri individu, malah turut melibatkan keluarga, masyarakat dan negara.

Menjelaskan perkara itu, Anwar berkata tokoh ulama Islam Nusantara Syeikh Daud Al-Fatani dalam karya klasik Munyatul Musolli, tidak hanya membahaskan tatacara solat, malah turut menyentuh aspek siyasah dan tatakelola yang baik.

Ad Banner
Ad Banner

“Dalam bab “Tatmim al-Fa’idah”, Syeikh Daud menyentuh mengenai ibadah solat namun jauh daripada itu mengaitkan dengan prinsip keadilan.

“Keadilan adalah tentang keseimbangan dan wujud secara beriringan dengan fenomena convivencia global, iaitu keadaan yang masyarakat sejagat hidup bersama dalam budaya damai,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Perdana Menteri berkata usaha mencapai keadilan merupakan tanggungjawab bersama, sama ada oleh Muslim atau bukan Muslim, demi merealisasikan matlamat kemanusiaan sejagat.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak terus memelihara kehidupan secara rukun dan damai, selain menolak prasangka, stereotaip palsu dan naratif permusuhan yang boleh menghancurkan keharmonian masyarakat.

“Pada masa yang sama mesti tetap tawaduk dan rendah hati, kerana kita mungkin tidak mempunyai jawapan yang tepat. Bahkan jika kita mendapat jawapan sekalipun, kita tidak boleh terlalu gopoh dan tergesa-gesa menganggapnya sebagai penyelesaian yang tuntas,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan