KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- McDonald’s Malaysia hari ini menyerahkan sumbangan berjumlah RM420,000 kepada Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia), hasil kutipan kempen ‘Prosperity Kembali, Lebih Bererti’ yang berlangsung dari 20 Nov hingga 31 Dis lepas.
Ketua Pegawai Pemasaran McDonald’s Malaysia, Chin Mei Lee berkata sokongan pelanggan membolehkan syarikat itu menyumbang kembali kepada komuniti melalui kempen tersebut.
“Kami amat berterima kasih atas keprihatinan rakyat Malaysia yang telah menyokong usaha McDonald’s Malaysia untuk menyumbang kembali kepada komuniti sepanjang kempen ‘Prosperity Kembali, Lebih Bererti’ melalui pembelian set Burger Prosperity.
“Kami juga berbesar hati atas kerjasama berterusan dengan RMHC Malaysia sebagai badan kebajikan pilihan kami dan berharap sumbangan ini dapat memberi impak yang bermakna kepada kanak-kanak yang memerlukan di seluruh negara,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan itu di sini, hari ini.
Menerusi kempen tersebut, RM0.20 daripada setiap pembelian set Prosperity Burger disumbangkan kepada RMHC Malaysia bagi memperkukuh pelbagai inisiatif persatuan itu yang memberi manfaat kepada kanak-kanak dan keluarga kurang bernasib baik.
Chin berkata inisiatif berkenaan merangkumi penyediaan penginapan di Rumah Ronald McDonald, Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald, pembedahan klef bibir dan lelangit menerusi program Anugerah Senyuman, serta program Pek Kembali ke Sekolah.
Sementara itu, Pengurus Besar RMHC Malaysia, Nasri Nordin merakamkan penghargaan kepada pelanggan McDonald’s atas sokongan terhadap kempen berkenaan.
“RMHC Malaysia amat menghargai para pelanggan McDonald’s yang telah sudi membeli set Burger Prosperity melalui kempen ini.
“Setiap sumbangan yang diterima melalui McDonald’s Malaysia amat bernilai dan akan membantu RMHC mengembangkan lagi program kami demi mengubah kehidupan kanak-kanak serta keluarga yang memerlukan,” katanya.
Setiap tahun, RMHC Malaysia menyediakan kemudahan penginapan di dalam hospital kepada lebih daripada 4,000 keluarga, manakala lebih 4,500 kanak-kanak berkeperluan khas menjalani terapi di Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald.
Selain itu, 10,000 murid Tahun Satu di seluruh negara menerima sumbangan Pek Kembali ke Sekolah, manakala 100 kanak-kanak menjalani pembedahan pembetulan klef bibir dan lelangit di bawah tajaan Program Anugerah Senyuman.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial