JOHOR BAHRU, 7 Jan (Bernama) -- Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) terus memperkukuh sektor kesihatan awam negeri itu, menerusi sumbangan peralatan perubatan kritikal dan kemudahan fasiliti kepada Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, hari ini.
Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sumbangan itu bertujuan meningkatkan kualiti rawatan pesakit selain memberi keselesaan kepada petugas barisan hadapan.
Majlis penyerahan sumbangan kepada HSA disempurnakan Pemegang Amanah Urusan YSIJ Datuk Avinderjit Singh kepada Pengarah HSA Dr Mohd Nizam Subahir, di Dewan Jabatan Pediatrik HSA.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ Mohd Anizam Jamian.
Antara peralatan berteknologi tinggi yang disumbangkan kepada HSA ialah Atom Sunflower Infant Radiant Warmer dan RAD-97 Pulse Co-Oximeter untuk kegunaan bayi.
Selain itu, HSA turut menerima BeneFusion Syringe Pump, Trauma Stretcher bagi Jabatan Kecemasan dan Trauma, serta 15 unit penapis air untuk kegunaan pesakit dan pelawat.
Dr Mohd Nizam merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menyifatkan sumbangan berkenaan sebagai sokongan besar kepada pihak hospital, memandangkan beban tugas hospital yang sangat tinggi.
“HSA merupakan pusat rujukan utama bagi rawatan pakar pediatrik bagi seluruh negeri Johor dan juga sebahagian daripada negeri Melaka, dengan statistik kelahiran mencecah 12,000 setahun, keperluan terhadap peralatan neonatal yang canggih seperti Infant Radiant Warmer ini amatlah mendesak,” katanya.
Sementara itu, serahan sumbangan kepada HSI berlangsung di Pejabat Pakar Hospital HSI dan disempurnakan Avinderjit Singh kepada Pengarah HSI Dr Zuraini Zainal.
Sumbangan di HSI memfokuskan kepada peralatan khusus termasuk Hydro Surgery Wound Debridement System bagi pembersihan luka pembedahan, Muscle Meter serta 14 unit penapis air untuk kemudahan awam.
Dalam pada itu, Avinderjit Singh turut menyantuni pesakit di Wad Pediatrik HSA serta Wad Pembedahan dan Wad Onkologi HSI, selepas penyerahan sumbangan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial