KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Insiden demi insiden masalah sosial yang melibatkan pelajar sekolah sepanjang tahun lepas mencetuskan kebimbangan serius dalam kalangan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka, sekali gus mendorong kerajaan melaksanakan program percubaan kawal selia atau sandbox bermula 1 Januari lepas.
Melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta beberapa platform media sosial yang dikenal pasti, pendekatan itu bertujuan menilai keupayaan teknikal sedia ada selain menguji mekanisme kawal selia secara terkawal sebelum pelaksanaan penuh dilaksanakan.
Dalam konteks itu, meskipun Malaysia tidak bercadang mengambil pendekatan larangan mutlak seperti Australia terhadap penggunaan media sosial oleh kanak-kanak bawah 16 tahun, negara ini cenderung memperkukuh mekanisme pengesahan umur yang lebih jelas dari segi pelaksanaan dan penguatkuasaan.
Mengulas perkara berkenaan, pakar psikologi klinikal kanak-kanak Dr Noor Aishah Rosli menyifatkan pendekatan itu sebagai langkah pencegahan jangka panjang bagi melindungi kanak-kanak dan remaja daripada terus terdedah kepada kandungan digital yang tidak bersesuaian.
“Kita tidak mahu menambah data statistik berkaitan tekanan, keresahan dan ketagihan skrin, termasuk pendedahan kepada kandungan video yang tidak sesuai untuk kanak-kanak bawah 16 tahun,” katanya kepada Bernama.
Ketagihan media sosial dalam kalangan kanak-kanak dan remaja dilihat semakin membimbangkan apabila data kajian sebelum ini menunjukkan sembilan daripada 10 kanak-kanak kini memiliki akaun media sosial dan menghabiskan purata sehingga lapan jam sehari melayari platform seperti TikTok dan YouTube.
Sementara itu, laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Our Lives Online pada 2020 menunjukkan 91 peratus kanak-kanak Malaysia berusia antara 13 hingga 17 tahun melayari internet setiap hari dengan 70 peratus daripadanya pernah terdedah kepada kandungan yang mengganggu.
Sehubungan itu, Noor Aishah berpandangan penguatkuasaan undang-undang semata-mata tidak mencukupi sekiranya peranan ibu bapa dalam memantau, membimbing serta membentuk literasi digital anak-anak tidak diperkukuh secara konsisten.
“Risiko terbesar ialah apabila undang-undang dilaksanakan tetapi perubahan sikap dan teladan tidak berlaku. Anak-anak belajar melalui pemerhatian dan peniruan, bukan arahan semata-mata.
“Apabila ibu bapa sendiri sentiasa menggunakan telefon pintar, anak-anak menganggap ia sebagai perkara biasa dan boleh ditiru. Ibu bapa perlu lebih berdisiplin serta menunjukkan teladan kerana kawalan skrin akan menjadi lebih berkesan secara semula jadi,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, jurulatih kecergasan Pasukan Futsal Kebangsaan, Syafique Faudzil, berkata pengalihan masa remaja daripada media sosial kepada aktiviti sukan terancang mampu membantu membentuk disiplin, matlamat serta kesejahteraan psikologi yang lebih sihat.
“Pengurangan pendedahan kepada media sosial juga boleh meningkatkan prestasi dalam sukan dan aktiviti fizikal kerana remaja mempunyai lebih banyak masa dan peluang untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti berkenaan,” katanya.
Beliau berkata aktiviti sukan turut membantu pembentukan identiti diri yang lebih jelas melalui peranan tertentu seperti ketua pasukan, selain membantu kawalan emosi menerusi pembelajaran mengurus kekecewaan dan kebimbangan di bawah bimbingan jurulatih serta sokongan rakan sepasukan.
“Pengalaman ini memupuk nilai kendiri dan rasa tujuan hidup yang lebih jelas, berbeza dengan pengalaman pasif yang dipengaruhi algoritma media sosial,” katanya yang juga pensyarah sains sukan Kolej Poly-Tech MARA.
Pengurangan kebergantungan terhadap media sosial juga berpotensi meningkatkan fokus, motivasi serta prestasi keseluruhan remaja bukan sahaja dalam bidang sukan, malah dalam akademik dan aspek kehidupan lain, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial