IPOH, 2 Jan (Bernama) -- Program Usahawan Perintis Bawang yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menerusi kerjasama strategik bersama petani tempatan terus membuktikan keberkesanannya apabila seorang peserta program di Perak menunjukkan perkembangan positif.
Samsul Kamal Buyong, 56, berkata beliau mula terlibat dalam program itu pada 2024 di kawasan bekas lombong seluas satu hektar di Gua Tempurung, Gopeng dengan kira-kira 0.5 hektar diperuntukkan bagi penanaman bawang varieti BAW 1 dan BAW 2 yang dibekalkan MARDI.
Beliau berkata faktor kesesuaian tanah, khususnya sistem saliran yang baik dan air tidak bertakung turut menjadi antara kriteria utama pemilihan.
“Saya dipilih berdasarkan pengalaman dalam bidang pertanian serta kesediaan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) dan teknologi yang ditetapkan MARDI,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan MARDI hari ini.
Samsul Kamal berkata projek penanaman itu turut melibatkan sokongan 15 pekerja selain dilaksanakan mengikut kaedah agronomi serta pemantauan teknikal yang ditetapkan institut berkenaan.
Beliau berkata tanaman bawang berkenaan kini berusia 45 hari dan dijangka dituai buat kali pertama pada pertengahan bulan ini (Januari) dengan anggaran hasil antara tiga hingga empat tan.
Menurut Samsul Kamal, pencapaian itu membuktikan potensi tanaman bawang untuk diusahakan secara komersial di Malaysia, termasuk di kawasan tanah bekas lombong sekiranya diuruskan dengan teknologi dan amalan agronomi yang tepat.
“Walaupun ini pengalaman pertama saya menanam bawang secara berskala komersial dan berdepan musim monsun, alhamdulillah dengan bimbingan pegawai MARDI, perkembangan tanaman setakat ini amat menggalakkan,” katanya.
Samsul Kamal yang berasal dari Gopeng turut memaklumkan selain bawang, beliau juga mengusahakan tanaman sayur-sayuran lain seperti kangkung, sawi bunga dan lobak bagi mengoptimumkan penggunaan tanah serta memastikan kelangsungan pendapatan.
Sementara itu, Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata pencapaian yang ditunjukkan oleh Samsul Kamal mencerminkan kejayaan pemindahan teknologi institusi itu kepada petani tempatan.
Beliau berkata MARDI akan terus memperkukuh Program Usahawan Perintis Bawang menerusi penyelidikan berterusan, pemindahan teknologi dan bimbingan teknikal bagi memastikan tanaman bawang dapat diusahakan secara mampan, berdaya saing serta mampu memenuhi keperluan pasaran domestik.
“MARDI terus komited memperkukuh program ini melalui penyelidikan berterusan, pemindahan teknologi dan bimbingan teknikal kepada petani supaya tanaman bawang dapat diusahakan secara mampan, berdaya saing serta mampu memenuhi permintaan tempatan dan berpotensi menembusi pasaran eksport,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial