Ad Banner
 AM > BERITA

Dapur Siswa, MADANI ResQ Pek Bantu Pelajar UUM

01/01/2026 05:33 PM

ALOR SETAR, 1 Jan (Bernama) -- Universiti Utara Malaysia (UUM) mewujudkan inisiatif Dapur Siswa MADANI dan MADANI ResQ Pek untuk membantu pelajar yang memerlukan dan terkesan dengan peningkatan kos sara hidup serta ekonomi yang semakin mencabar.

Naib Canselor UUM Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata program berkenaan juga merupakan usaha pihaknya dalam mengurangkan isu pelajar yang memerlukan makanan.

“Foodbank yang ada di dalam kampus tidak mencukupi untuk diletakkan di semua Inapan Siswa (Inasis), malah ada segelintir pelajar yang malu untuk mengambilnya. Jadi, pihak UUM menggunakan kumpulan sasaran untuk memberikan bantuan terus kepada pelajar yang memerlukan melalui Dapur Siswa MADANI dan MADANI ResQ Pek itu.

“Kita menggunakan amalan yang telah dilaksanakan oleh universiti lain seperti Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang menggunakan program retort. Pengetua Inasis juga telah pergi ke universiti berkenaan untuk melihat kaedah proses itu dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pentadbir universiti perlu memainkan peranan yang proaktif seumpama itu demi menjaga kebajikan pelajar.

“Ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke universiti dengan harapan akan dijaga sebaik mungkin. Jadi, saya mahu semua beri komitmen agar pelajar yang memerlukan diberi perhatian dan tindakan sewajarnya. Jika mereka tidak datang, kita sendiri yang akan turun padang pergi mencari dan menolong.

“Falsafah turun padang sudah menjadi amalan semua pentadbiran universiti tanpa mengira latar belakang dan pangkat. Jadi, kita perlu bersama-sama berganding bahu membantu pelajar dan berharap inovasi ini diteruskan untuk memastikan kebajikan pelajar dijaga,” katanya.

Sementara itu, Dekan Hal Ehwal Pelajar UUM Prof Madya Dr Zainuddin Omar berkata program anjuran Biro Kebajikan, Kesihatan dan Keselamatan, Majlis Pengetua Inasis itu adalah untuk mewujudkan satu rangkaian keselamatan makanan yang lebih sistematik dan mampan bagi komuniti pelajar UUM.

“Program ini bukan sekadar memberikan bantuan makanan, tetapi juga satu manifestasi tanggungjawab moral universiti dalam menjaga kesejahteraan holistik pelajar, dengan penyediaan pek makanan berkhasiat dan seimbang ini, kita berharap pelajar dapat fokus sepenuhnya kepada kecemerlangan akademik tanpa dibebani kegusaran tentang keperluan asas.

“Saya yakin dengan sokongan kewangan melalui Akaun Bantuan Sara Hidup Pelajar ini, sebanyak 800 pelajar sasaran akan menerima manfaat yang signifikan, seterusnya menjadi contoh kepada pengurusan kebajikan pelajar yang lebih inovatif pada masa hadapan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan