Ad Banner
 AM > BERITA

Ketibaan Penumpang Di KL Sentral Disambut Meriah Dengan Tarian Kebudayaan

01/01/2026 06:56 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Rutin ketibaan penumpang di KL Sentral yang lazimnya diiringi pengumuman ketibaan atau pelepasan tren hari ini bertukar lebih meriah dengan persembahan tarian oleh penari kebudayaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Persembahan tersebut bukan sahaja mencuri tumpuan orang ramai malah turut menarik minat penumpang domestik dan antarabangsa yang baru tiba untuk bersama-sama menyertai tarian yang dipersembahkan, termasuk tarian Magunatip, tarian tradisi masyarakat Murut dari Sabah.

Sebaik sahaja penumpang Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) tiba di balai ketibaan, mereka disambut oleh pegawai kanan Tourism Malaysia dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang mengagihkan beg cenderahati berisi bahan promosi TMM2026.

Seorang pelancong Perancis, Titus, 30, menyifatkan perjalanan menggunakan perkhidmatan ETS sebagai pengalaman yang mengujakan dan memudahkan pergerakannya sepanjang berada di Malaysia.

“Perkhidmatan tren ini sangat bagus dan memudahkan. Saya mengeyorkan agar mereka (KTMB) menambah bilangan perjalanan tren setiap hari kerana ia membantu lebih ramai orang. Tahap kemudahannya juga sangat baik, bersih dan profesional selain petugasnya juga sangat mesra. 

“Kami berada di Singapura selama tiga hari sebelum mengambil tren di Johor Bahru dan ia satu pengalaman yang hebat,” katanya. 

Titus berkata dia dan rakannya merancang untuk mengunjungi lokasi yang menampilkan budaya dan warisan tempatan, menikmati kepelbagaian makanan Malaysia serta melawat tempat yang menawarkan pemandangan menarik.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Sumber Manusia Tourism Malaysia Muhamad Nasir Pahmi berkata pihaknya akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan KTMB dengan menawarkan pakej pelancongan kreatif dan menarik.

“Kita melihat kerjasama yang terjalin amat menggalakkan, khususnya dari segi pengangkutan yang turut memainkan peranan memperkenalkan serta mempromosikan pakej pelancongan domestik yang menarik,” katanya.

Bagi merancakkan pertumbuhan sektor pelancongan beliau berkata kerajaan turut melaksanakan pelbagai inisiatif melalui e-Tourism Malaysia seperti pengenalan beberapa geran seperti Geran Galakan Melancong (Gamelan), geran sokongan penggiat kraf dan geran sokongan sektor pelancongan.

Beliau berkata geran tersebut disediakan bagi membantu penggiat industri pelancongan tempatan meningkatkan aktiviti promosi dan pembangunan produk sempena TMM2026.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi KTMB Afzar Zakariya berkata pihaknya menjangkakan jumlah penumpang tempatan dan antarabangsa akan terus meningkat susulan pertambahan empat ETS bagi sektor Selatan untuk laluan KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral.

“Kita menjangkakan peningkatan penumpang yang lebih memberangsangkan berikutan ketersambungan perkhidmatan ETS dari selatan (iaitu) Johor Bahru ke bandar utama seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Butterworth dan Padang Besar.

“Peningkatan ini dijangka berterusan sepanjang tahun ini sempena TMM2026. Hari ini merupakan hari pertama kempen tersebut dan ia adalah masa terbaik untuk kita mulakan TMM2026 bersama KTMB di KL Sentral, yang menjadi stesen hentian bagi 42 tren ETS setiap hari,” katanya.

Afzar berkata peningkatan jumlah penumpang ini dijangka berterusan hingga hujung tahun, dengan kerjasama berterusan antara KTMB, Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam mempromosikan pengunaan perkhidmatan ETS kepada pelancong domestik dan antarabangsa.

Sambutan ketibaan pelancong sempena TMM2026 turut diadakan di beberapa lokasi seperti Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang, Terminal Bersepadu Selatan, Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar Kedah dan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan