Ad Banner
 AM > BERITA

Selesa Dan Berpatutan, Perkhidmatan Bas Jadi Pemangkin Pergerakan Pelancong

01/01/2026 08:30 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Perkhidmatan pengangkutan darat, khususnya bas menjadi pemangkin pergerakan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) kerana dapat menghubungkan bandar-bandar utama dengan destinasi pelancongan pada kos yang berpatutan dan selesa.

Bagi Nabilah Mazlan, 29, yang bekerja dalam sektor perhotelan, perkhidmatan bas kekal sebagai pilihan yang praktikal untuk perjalanan dari Melaka ke ibu negara bagi bertemu keluarga sambil bercuti.

“Biasanya saya memandu sendiri, tetapi kali ini saya memilih bas kerana ingin menjimatkan kos dan mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Perjalanan dengan bas lebih selesa dan membolehkan saya berehat sepanjang perjalanan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui sebaik tiba di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini hari ini.

Sementara itu, pelancong dari Sri Lanka, Naja Mohamed, 31, berkata perkhidmatan bas menjadikan percutiannya di Malaysia lebih mudah dan selesa.

“Kami menaiki bas dan ia sangat selesa. Pada mulanya, kami bercadang untuk menempah kenderaan persendirian, namun seseorang mencadangkan agar menggunakan bas.

“Rupa-rupanya ia sangat menyeronokkan dan jauh lebih mudah berbanding perjalanan dengan kereta,” katanya sambil menambah ini merupakan lawatan keduanya ke Malaysia dan beliau merancang untuk menghabiskan lima hari melawat beberapa destinasi pelancongan utama.

TBS terus memainkan peranan penting sebagai hab utama pergerakan pelancong, dengan aliran penumpang merangkumi pelbagai segmen termasuk percutian keluarga, golongan muda serta rakyat tempatan yang pulang ke kampung sambil melancong, khususnya ketika musim cuti sekolah dan hujung minggu panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif TBS Shazwan Mohammad berkata terminal itu kini menyaksikan peningkatan ketara jumlah penumpang, selari dengan sambutan terhadap kempen TMM2026 dan musim cuti.

Beliau berkata peningkatan itu mencerminkan permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan pengangkutan darat dan kemudahan terminal bagi menyokong pergerakan pelancong domestik dan serantau.

“Untuk minggu ini sahaja, kami menerima kira-kira 30,000 hingga 40,000 pengunjung dari seluruh negeri, sama ada untuk tujuan melancong, pulang ke kampung atau perjalanan berkaitan persekolahan,” katanya.

Shazwan berkata TBS telah melaksanakan pelbagai penambahbaikan kemudahan sejajar dengan keperluan semasa, termasuk penggunaan sistem automatik sepenuhnya bagi memudahkan urusan pembelian tiket.

“Kami menyediakan pembelian tiket secara digital, termasuk melalui kios layan diri dan mesin layan diri di semua kaunter, bagi membolehkan pengunjung membuat pembelian dengan mudah tanpa perlu berurusan secara manual,” katanya.

Beliau berkata TBS bersedia menampung peningkatan jumlah pelancong sempena TMM2026, sejajar dengan usaha kerajaan memacu pelancongan domestik dan antarabangsa.

Shazwan berkata terminal itu akan terus meningkatkan kemudahan serta kualiti perkhidmatan bagi memastikan setiap pengunjung menikmati pengalaman perjalanan yang selesa dan lancar.

Terdahulu, ketibaan pelancong di TBS disambut dengan pelbagai aktiviti sempena sambutan TMM2026 anjuran Tourism Malaysia.

Kempen TMM2026 bermula secara rasmi hari ini menerusi penganjuran Visit Malaysia 2026 Countdown Festival di Pavilion Kuala Lumpur, sekali gus menandakan permulaan usaha memacu pelancongan negara ke arah sasaran 43 juta pelawat antarabangsa dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan dunia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan