Ad Banner
 AM > BERITA

VM2026: Tiong Seru Rakyat Terus Pamer Sifat Ramah Mesra, Budaya Hospitaliti

01/01/2026 04:58 PM

SEPANG, 1 Jan (Bernama) -- Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menyeru orang ramai supaya terus mempamerkan sikap ramah mesra dan budaya hospitaliti dalam menyambut kehadiran pelancong antarabangsa selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Beliau berkata pelbagai inisiatif telah dilaksanakan kerajaan bagi menjayakan VM2026 dan warga Malaysia perlu bekerjasama dalam menunjukkan contoh yang terbaik kepada pelancong, termasuk dalam menitikberatkan aspek kebersihan persekitaran.

"Saya ada menerima aduan dan telah meminta penjelasan daripada agensi berkaitan dan mereka memaklumkan bahawa apabila pelancong bertanya, ada pihak (segelintir rakyat) yang bersikap kurang mesra dan menunjukkan kemarahan. 

"Oleh itu, saya menyeru semua pihak agar bersama-sama membuktikan bahawa negara kita adalah sebuah negara yang sangat mesra dan budaya kita mesti mencerminkan sikap mengalu-alukan kedatangan pelancong dari seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan pelawat antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA T1) di sini hari ini.

Dari segi promosi VM2026, beliau berkata usaha yang dijalankan setakat ini menunjukkan perkembangan positif dan menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat tempatan mahupun pelancong antarabangsa.

Terdahulu, Tiong bersama warga Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya termasuk Pengerusi Tourism Malaysia Datuk P. Manoharan meraikan ketibaan pelancong di Balai Ketibaan KLIA T1 dengan menyerahkan beg cenderahati kepada mereka.

Majlis itu turut diserikan dengan persembahan kebudayaan dan penampilan maskot rasmi VM2026, Wira dan Manja.

KLIA T1 menjadi satu daripada lokasi utama bagi inisiatif pembukaan kempen VM2026 hari ini dan sambutan serentak turut diadakan di 55 pintu masuk utama dan lokasi terpilih di seluruh Malaysia.

Tourism Malaysia dalam kenyataan berasingan memaklumkan kalendar acara VM2026 menampilkan lebih 300 program dan acara sepanjang tahun merangkumi elemen seni dan budaya, warisan serta kepelbagaian kaum melalui sambutan dan tradisi perayaan di Malaysia.

Antara acara utama yang diketengahkan ialah VM2026 Chinese New Year Festival, VM2026 Aidilfitri Festival, VM2026 Deepavali Festival, VM2026 Christmas Fest serta keunikan perayaan tradisi tempatan seperti Pesta Kaamatan (Tadau Kaamatan) dan Pesta Gawai.

"Menerusi kempen VM2026, Malaysia menyasarkan untuk menarik 43 juta pelawat antarabangsa  pada 2026, selari dengan usaha berterusan memperkukuh sektor pelancongan sebagai satu daripada pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara," menurut Tourism Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan