Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Majlis Perundingan Gig Bakal Ditubuh, Bincang Isu Bidding E-hailing - KESUMA

24/12/2025 04:42 PM

PUTRAJAYA, 24 Dis (Bernama) -- Isu ‘bidding’ dalam kalangan pemandu e-hailing akan dijadikan agenda awal oleh Majlis Perundingan Gig yang bakal ditubuhkan bagi memastikan kepentingan pemandu, platform dan pengguna kekal seimbang.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan selaras dengan Bahagian VI Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025, Majlis Perundingan Gig akan ditubuhkan sebaik sahaja perundangan ini dikuatkuasakan kelak.

Majlis ini merupakan platform tripartit yang melibatkan wakil kerajaan, wakil pekerja gig dan wakil entiti kontrak, berfungsi menasihati serta mengemukakan syor kepada kerajaan berkaitan kadar pendapatan minimum, formula dan standard minimum yang akan diguna pakai, serta perkara berkaitan kebajikan dan kepentingan pekerja gig.

“Majlis Perundingan Gig juga akan menjadi platform dialog dan rundingan berterusan berkaitan dasar serta isu-isu yang timbul dalam sektor gig, termasuk usaha memastikan pekerja gig memperoleh pendapatan yang lebih stabil, adil dan mampan.

“KESUMA berpandangan isu bidding dalam kalangan pemandu e-hailing merupakan antara perkara awal yang akan dibincangkan di bawah majlis ini bagi memastikan keseimbangan antara kepentingan pemandu, platform dan pengguna,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan merujuk laporan media tempatan berkait isu penawaran perkhidmatan e-hailing menggunakan konsep tawar-menawar atau bidding yang dibangkitkan oleh beberapa pertubuhan pekerja gig kepada Kementerian Pengangkutan.

KESUMA turut menegaskan kesediaan untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan dalam menangani isu ini secara menyeluruh, demi menjaga kebajikan pekerja gig dan kelestarian ekosistem ekonomi platform di negara ini.

Kementerian itu memaklumkan Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 telah diluluskan oleh Parlimen pada Ogos dan September lalu dan kini sedang dalam proses pewartaan.

“RUU ini dicadang untuk dikuatkuasakan pada tahun 2026,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan