Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan Sasar 100,000 Pelancong Kunjungi Desa Kirana Sempena VM2026

20/12/2025 03:38 PM

SEKINCHAN, 20 Dis (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan 100,000 pelancong berkunjung ke destinasi luar bandar menerusi 25 lokasi Desa Kirana@KKDW di seluruh negara bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

‎‎Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata angka itu yang disasarkan dicapai menjelang akhir tahun hadapan bersesuaian dengan hasrat kerajaan memastikan kawasan luar bandar tidak terkecuali menerima manfaat ekonomi daripada kehadiran pelancong. 

‎‎"Kebanyakan pelancong yang datang ke Malaysia sama ada dari rantau ASEAN ataupun dari Oceania seperti Australia, New Zealand ataupun daripada Eropah, dan sangat sedikit yang datang dari Amerika Utara atau Amerika Selatan dan yang terbanyak dari China dan India.

‎‎"Kita tidak mahu masyarakat desa hanya menjadi penonton tanpa mendapat manfaat ekonomi daripada kehadiran pelancong," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pengumuman Pakej Lengkap Desa Kirana, di sini hari ini. 

‎‎Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata data juga menunjukkan pelancong dari Korea dan Jepun amat berminat untuk merasai pengalaman desa yang ada di Malaysia. 

‎‎Sehubungan dengan itu, beliau berkata semua pihak termasuk pengusaha inap desa, ketua kampung, atau individu perlu terus menjaga lokasi yang dipromosikan agar tidak terbiar walaupun selepas promosi VM2026 berakhir.

‎‎"Ini supaya promosi itu tidak berjalan dalam jangka pendek sahaja dan tempat itu dibiarkan begitu sahaja selepas Tahun Melawat Malaysia,” katanya.

Ahmad Zahid berkata KKDW dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan berusaha sebaik mungkin dalam membantu menjayakan produk pelancongan berkaitan ,sekali gus meningkatkan tahap ekonomi masyarakat luar bandar. 

‎‎Sementara itu, KKDW dalam kenyataan memaklumkan, Desa Kirana yang meliputi 25 lokasi di seluruh negara ialah satu pendekatan strategik pakej pelancongan desa yang komprehensif dan unik dengan menjadikan komuniti setempat sebagai penggerak utama. 

‎‎KKDW turut menyasarkan peningkatan pendapatan komuniti setempat sebanyak 20 peratus pada tahun hadapan, dengan mengambil kira potensi dan keunikan pada setiap lokasi. 

‎-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan