Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MOTAC, KePKAS Kerjasama Rapat Perkasa Sektor Pelancongan Sabah

20/12/2025 06:12 PM

KOTA KINABALU, 20 Dis (Bernama) -- Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) menyatakan kesediaan untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) ke arah memperkasakan sektor pelancongan di negeri berkenaan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata perkara itu telah dibincangkan semasa pertemuan bersama Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Tiong King Sing di Kuala Lumpur semalam.

Jafry berkata perbincangan itu memfokuskan kepada isu-isu yang memberi kesan langsung terhadap  pengalaman, keselamatan serta kebajikan pelancong domestik dan antarabangsa yang berkunjung ke Sabah.

“Antara perkara utama yang dibincangkan ialah isu keselamatan pelancong, termasuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi pengangkutan bot pelancong, aktiviti selam skuba dan sukan air serta keadaan infrastruktur pelancongan awam yang uzur.

“Turut disentuh ialah isu pelesenan dan kelulusan, melibatkan pengusaha dan pemandu pelancong tidak berlesen, penyalahgunaan lesen, operasi tanpa kelulusan sah dan promosi pakej oleh pihak yang tidak bertauliah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jafry berkata MOTAC juga menyatakan kesediaan untuk bekerjasama rapat dengan KePKAS bagi memperkukuhkan aspek penguatkuasaan, penyelarasan lesen, perkongsian maklumat serta pelaksanaan inisiatif promosi strategik bagi membantu melonjakkan lagi sektor pelancongan Sabah.

“Kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah penting bagi menangani isu-isu berkaitan pelancong dalam dan luar negara yang berkunjung Sabah.

“Ia juga untuk memelihara reputasi Sabah sebagai destinasi pelancongan yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan