KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang, Kelantan dan Terengganu merekodkan penurunan petang ini, manakala bilangan mangsa di Johor kekal.
Di PAHANG, sebanyak 12,226 mangsa daripada 4,052 keluarga ditempatkan di 79 PPS setakat 4.40 petang berbanding 13,472 mangsa di 81 PPS pagi tadi.
Berdasarkan aplikasi Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 10,573 orang ditempatkan di 47 PPS di Kuantan, Pekan (965 orang di 11 PPS), Rompin (353 orang di lapan PPS), Maran (161 orang di empat PPS), Jerantut (145 orang di empat PPS) dan Lipis (lima orang di satu PPS).
Sementara itu, Temerloh dan Bera menjadi daerah terbaru dilanda banjir, masing-masing merekodkan 22 mangsa di tiga PPS dan dua mangsa di sebuah PPS.
Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir menurun kepada 1,202 orang daripada 340 keluarga setakat 5 petang, berbanding 1,344 orang pagi tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), 951 mangsa daripada 269 keluarga berlindung di 14 PPS di Kemaman sejak Rabu lepas.
Selain itu, 251 mangsa daripada 71 keluarga berteduh di dua PPS di Dungun, manakala di Hulu Terengganu, dua PPS telah ditutup tengah hari tadi selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Di KELANTAN, Sekretariat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri memaklumkan 74 mangsa daripada 22 keluarga masih ditempatkan di empat PPS di Kuala Krai petang ini berbanding 186 mangsa pagi tadi.
Di JOHOR, Pengerusi JPBN Datuk Asman Shah Abd Rahman dalam kenyataan berkata bilangan mangsa banjir kekal 356 orang daripada 93 keluarga di daerah Mersing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial