Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

75 Keluarga Orang Asli Di Muadzam Shah Terima Bantuan Keperluan Asas

19/12/2025 09:12 PM

KUANTAN, 19 Dis (Bernama) -- Sebanyak 75 keluarga Orang Asli di Kampung Jubau dan Langkap Lama di Muadzam Shah, yang terputus hubungan sejak Isnin lepas berikutan jalan dinaiki air akibat banjir menerima bantuan keperluan asas bagi meringankan beban mereka. 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata bantuan tersebut merangkumi 75 bungkus makanan kering termasuk beras, minyak masak, gula, kopi, tepung, sardin, biskut dan mi segera serta dua perahu fiber bagi memudahkan pergerakan penduduk di kawasan yang terjejas.

“Saya hadir membawa amanah kasih sayang dan simpati daripada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang diuruskan oleh Pahang Orang Asli Corporation (Oraco),” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. 

Dalam pada itu, beliau berkata pelbagai infrastruktur dan kemudahan perlu diberi perhatian bagi memberi keselesaan masyarakat Orang Asli di kawasan terbabit seperti pembinaan jalan yang lebih tinggi, jambatan, tempat tinggal dan pembangunan ekonomi serta pendidikan. 

Syed Ibrahim  turut merakamkan setinggi penghargaan kepada agensi yang terlibat seperti  penyelaras Dewan Undangan Negeri Bukit Ibam, Pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah Muadzam, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Agensi Pertahanan Awam Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan