Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Lebih 15,000 Mangsa Banjir Di Empat Negeri Berlindung Di PPS Pagi Ini

19/12/2025 10:41 AM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Sebanyak 15,358 mangsa banjir masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang, Terengganu, Johor, dan Kelantan pagi ini. 

Di PAHANG, bilangan mangsa banjir terus meningkat apabila 13,472 orang daripada 4,437 keluarga ditempatkan di 81 PPS berbanding 10,956 orang daripada 3,635 keluarga yang berada di 78 PPS petang semalam.

Aplikasi Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan sebanyak 11,123 orang ditempatkan di 46 PPS di Kuantan, Maran (912 orang di 11 PPS), Rompin (454 orang di lapan PPS), Pekan (926 orang di 11 PPS), Jerantut (52 orang di empat PPS) dan Lipis (lima orang di satu PPS).

Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir juga bertambah kepada 1,344 orang daripada 366 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 902 orang daripada 248 keluarga, petang semalam.

Daerah Kemaman mencatat jumlah teramai, iaitu 637 orang daripada 171 keluarga yang berlindung di 12 PPS, diikuti Dungun dengan 247 orang daripada 72 keluarga di dua PPS, manakala di Hulu Terengganu sebanyak 18 orang daripada lima keluarga berada di sebuah PPS.

Berdasarkan publicinfobanjir.water.gov.my, paras air sungai di tujuh stesen melepasi tahap waspada, iaitu Sungai Cherol di Jambatan Ban Ho, Kemaman; Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut; Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun; Sungai Kemaman di Rumah Pam Paman, Kemaman; Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu; Sungai Nerus di Kampung Bukit (F1), Setiu; dan Sungai Tersat di Kampung Sekayu (F1), Hulu Terengganu.

Di JOHOR, Pengerusi JPBN Datuk Asman Shah Abd Rahman dalam kenyataan berkata jumlah mangsa yang terjejas akibat banjir kekal 356 orang daripada 93 keluarga hingga 8 pagi ini dan ditempatkan di tiga PPS di daerah Mersing. 

Katanya, PPS terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Air Tawar yang menempatkan 148 orang daripada 36 keluarga, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chiao Ching (139 orang daripada 44 keluarga) dan SK Labong (69 orang daripada 13 keluarga).

Empat sungai berada pada paras amaran, iaitu Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat dengan bacaan 19.86 meter (m), Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat (8.41 m); Sungai Lenik di Ladang Cha’ah, Batu Pahat (6.64 m) dan Sungai Kampung Labong di Mersing yang merekodkan bacaan 1.82 m.

Di KELANTAN, Infobencana JKM memaklumkan empat PPS dibuka di dua daerah di Kelantan hari ini yang melibatkan pemindahan 186 orang daripada 49 keluarga.

Di Gua Musang, satu PPS dibuka dan menempatkan 148 orang daripada 35 keluarga, manakala di Kuala Krai sebanyak 38 orang daripada 14 keluarga berlindung di tiga PPS.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan