REMBAU, 16 Dis (Bernama) -- Perpustakaan desa di seluruh negara akan dilengkapi sistem digital bermula tahun hadapan selaras dengan usaha menaik taraf perkhidmatan serta menyediakan kemudahan yang lebih selesa kepada masyarakat.
Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Edy Irwan Zulkafli berkata sebanyak 506 perpustakaan akan dinaik taraf dengan menumpukan kepada penyediaan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), capaian Internet, perkhidmatan WiFi berkelajuan tinggi serta kemudahan komputer.
“Pada tahun hadapan, kami mahu memastikan terdapat peningkatan dari segi infrastruktur memandangkan kebanyakan perpustakaan desa ketika ini masih tertumpu kepada perkhidmatan tradisional seperti rujukan dan pinjaman bahan bacaan sahaja.
“Namun selaras dengan trend semasa, kami juga berhasrat untuk memastikan perpustakaan desa dilengkapi kemudahan teknologi terkini, peruntukan telah dimohon kepada kerajaan Persekutuan sebanyak RM1.2 juta untuk naik taraf perpustakaan desa bagi 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penyerahan Projek Sekolah Angkat MADANI 2025 di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yuk Hua di sini hari ini, yang turut dihadiri Pegawai Pendidikan Daerah Rembau Mazlan Abdullah dan Guru Besar SJK (C) Yuk Hua Wong Lee Feen.
Edy Irwan berkata penambahbaikan itu membolehkan masyarakat, terutama di kawasan luar bandar dapat mengakses maklumat dan ilmu secara lebih meluas, mudah dan selesa.
Sementara itu, beliau ketika mengulas mengenai program berkenaan berkata Sekolah Angkat MADANI bukan sekadar bantuan fizikal malah berperanan sebagai pemangkin kepada pembentukan sahsiah murid serta berfungsi sebagai hab komuniti pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar.
Anak jati Kampung Senama Rembau itu berkata pemilihan sekolah berkenaan sebagai Sekolah Angkat MADANI 2025 PNM turut memberi peluang kepadanya untuk menabur bakti di daerah kelahiran sendiri.
Beliau berkata peruntukan berjumlah RM100,000 yang disalurkan menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan telah dimanfaatkan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan dan pembelajaran secara holistik.
“Antara skop projek dilaksanakan adalah pembaikan infrastruktur dan kemudahan sekolah seperti perolehan penyaman udara untuk pusat sumber sekolah, pemasangan Papan Pintar serta pelaksanaan sistem automasi perpustakaan.
“Selain itu, dana itu turut digunakan bagi menaik taraf bilik guru, makmal sains, kafe dan bilik darjah, di samping melaksanakan program bimbingan akademik serta pembangunan pelajar seperti Smart Kids ICT Explorer dan Program Penanda Aras Arch By The River,” katanya.
Beliau berharap inisiatif itu dapat memberi keselesaan kepada para pelajar, sekali gus membantu mereka memberi tumpuan sepenuhnya dalam pembelajaran serta menyokong usaha warga pendidik dalam menyampaikan perkhidmatan pendidikan yang terbaik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial