Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Berita-Berita Ringkas Dewan Negara: 15 Dis

15/12/2025 07:02 PM

PROGRAM SMART CLASSROOM@KEMAS DIPERLUAS MULAI TAHUN DEPAN 

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Program Smart Classroom@KEMAS akan diperluaskan ke tabika seluruh negara secara berfasa mulai tahun depan bagi melahirkan lebih banyak modal insan fasih digital melalui pengintegrasian teknologi dalam aktiviti kurikulum, kokurikulum serta aktiviti di luar kurikulum.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata peluasan itu melibatkan sebuah tabika di setiap negeri dengan jangkaan sebanyak 160 tabika Smart Classroom dapat diwujudkan menjelang 2027.

“Tabika Smart Classroom ini akan dibekalkan akses Internet, 10 tablet, sebuah papan interaktifkomputer riba (mengikut bilangan guru) dan alat pembelajaran robotik.

“Selain itu, bahan pembelajaran digital yang mengintegrasikan teknologi realiti terimbuh (AR), kecerdasan buatan (AI) dan pelbagai teknologi digital dalam pendidikan sesuai dengan tahap perkembangan kanak-kanak enam tahun, sebagai sokongan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di kelas,” katanya. 

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman yang ingin tahu sejauh mana tahap pendigitalan bahan pembelajaran di Tabika KEMAS telah dilaksanakan pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

-- BERNAMA 

 

KUTIPAN SAMAN AWAS CECAH RM304.4 JUTA, DIPASANG DI 49 LOKASI - HASBI

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Jumlah kutipan saman menerusi Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) kini mencecah RM304,437,970 sejak pelaksanaannya pada 1 Sept 2018 hingga 30 Nov lepas, melibatkan 49 lokasi dipantau di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

Beliau berkata sebahagian hasil kutipan saman AWAS itu disalurkan semula kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bagi melaksanakan pelbagai inisiatif keselamatan, termasuk Program Zon Sekolah Selamat yang menyokong had kelajuan 30 kilometer sejam di zon sekolah.

“Kutipan saman itu turut digunakan bagi menyokong program MyLesson B2 untuk belia, termasuk pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi dan golongan kurang berkemampuan bagi meningkatkan kemahiran menunggang motosikal serta mengurangkan risiko kemalangan maut,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk C. Sivaraj yang ingin tahu jumlah kutipan saman AWAS setakat ini sejak pelaksanaannya, serta sejauh mana hasil kutipan itu disalurkan semula bagi meningkatkan keselamatan jalan raya dan pendidikan pemandu.

Hasbi turut menegaskan pemasangan kamera AWAS dibuat berdasarkan kawasan kerap berlaku kemalangan dan bukan bertujuan memerangkap pemandu, sambil memaklumkan kementerian merancang menambah 10 lagi lokasi berisiko tinggi pada tahun depan.

-- BERNAMA

 

PEMBINAAN KLINIK KESIHATAN SEPULOT MULA TAHUN DEPAN

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Kerja pembinaan Klinik Kesihatan Sepulot, Nabawan di Sabah akan dimulakan di bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 pada tahun depan, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni.

Beliau berkata projek itu merangkumi kerja awalan tapak pembinaan bangunan klinik kesihatan yang dilengkapi komponen pergigian, perkhidmatan X-ray, 28 unit kuarters, perolehan peralatan perubatan, sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kenderaan pacuan empat roda.

“Projek ini akan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya dan dalam proses penyediaan borang permulaan pelaksanaan projek, Medical Brief of Requirement (MBoR), Jadual Penginapan (SOA) dan anggaran kos awalan.

“Kajian nilai juga akan dilaksanakan bagi nilai projek lebih RM70 juta untuk pengesahan skop dan kos keseluruhan,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Bobbey Suan yang ingin tahu bilangan klinik kesihatan luar bandar yang akan dibina di Sabah pada 2026 pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Lukanisman berkata terdapat sembilan projek sambungan klinik kesihatan di Sabah dalam peringkat prapelaksanaan di Keningau, Tuaran, Kota Belud, Penampang, Membakut, Tawau, Tenom dan Sandakan yang akan dilaksanakan pada tahun depan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan