KUANTAN, 15 Dis (Bernama) -- Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO) telah menyiapkan projek naik taraf infrastruktur di Kampung Jeram Besu, Raub dengan peruntukan berjumlah RM1 juta menerusi Program Kampung Angkat MADANI Tahun 2025.
MDIO dalam kenyataan memaklumkan projek yang dilaksanakan memberi tumpuan kepada naik taraf Masjid Kampung Jeram Besu serta kerja membaik pulih Tabika KEMAS kampung berkenaan, dengan keseluruhan kerja disiapkan dalam tempoh 14 minggu dan selesai sepenuhnya pada 9 Dis lepas.
Kerja-kerja naik taraf masjid meliputi pemasangan panel solar, baik pulih bangunan utama masjid, garaj dan tangki air selain perolehan van jenazah baharu untuk kegunaan masyarakat.
"Bagi tabika pula melibatkan kerja membaik pulih struktur, keselamatan, pembelajaran dan kemudahan asas," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataan sama berkata kerajaan negeri menyambut baik pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI di Jeram Besu yang telah berjaya meningkatkan kemudahan asas masyarakat setempat.
"Usaha ini bukan sahaja memperkukuh kesejahteraan rakyat, malah memperlihatkan komitmen kerajaan Persekutuan dan negeri dalam memastikan pembangunan desa terus diberi keutamaan. Saya yakin projek ini akan membawa perubahan positif yang berpanjangan kepada kehidupan penduduk kampung," katanya.
Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Leftenan Jenaral Datuk Mohd Razali Alias pula berkata peningkatan kemudahan masjid, tabika dan infrastruktur asas adalah selaras dengan mandat kerajaan untuk memastikan rakyat di luar bandar menikmati kemudahan yang lebih selesa, selamat serta berdaya maju.
"Kami akan terus memainkan peranan aktif dalam menyokong agenda pembangunan nasional melalui pendekatan “whole of government” selain mempereratkan hubungan antara tentera dan awam," katanya.
Projek di Kampung Jeram Besu tahun ini merupakan yang kedua dilaksanakan MDIO selepas Program Sekolah Angkat MADANI di Sekolah Kebangsaan Gembut, Kota Tinggi, Johor, yang melibatkan kerja naik taraf kemudahan serta peluasan ruang kantin bagi keselesaan lebih 300 pelajar, guru dan kakitangan sekolah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial