Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Dewan Negara Luluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026

15/12/2025 04:49 PM

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju oleh Ahli Dewan Negara selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan setelah melalui tujuh hari tempoh perbahasan dan penggulungan.

Terdahulu dalam ucapan penggulungannya, Amir Hamzah berkata Belanjawan 2026 terus mengekalkan keseimbangan pembangunan ekonomi dan sosial dalam membina Malaysia yang lebih makmur, inklusif, dan berdaya tahan.

"Belanjawan 2026 menekankan kepentingan rakyat dengan matlamat meningkatkan darjat dan kesejahteraan hidup, memperkukuh ekonomi negara, di samping memastikan pengurusan kewangan negara kekal mampan," katanya.

Belanjawan 2026 merupakan belanjawan keempat di bawah Kerajaan MADANI dan yang pertama dilaksanakan di bawah kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Bertemakan "Belanjawan Rakyat", ia memperuntukkan perbelanjaan awam sebanyak RM470 bilion, termasuk RM338.2 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM81 bilion bagi perbelanjaan pembangunan. 

Ia turut merangkumi pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (RM30 bilion), kerjasama awam-swasta (RM10 bilion) serta badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (RM10.8 bilion).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan