Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Jangan Jadikan Keselamatan Negara Modal Politik - MKN

05/03/2026 10:37 AM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Isu keselamatan negara tidak seharusnya dijadikan modal politik, sebaliknya memerlukan kesepakatan bipartisan demi memastikan kestabilan dan kedaulatan tanah air terus terpelihara daripada sebarang elemen pengaruh asing.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin menegaskan masa depan negara terletak sepenuhnya di tangan rakyat dan kerajaan sendiri, bukannya ditentukan oleh kuasa luar.

Beliau berkata pengukuhan kekuatan dalaman adalah kunci utama bagi memastikan Malaysia tidak mudah goyah oleh percubaan pihak asing yang cuba mengambil kesempatan atas perbezaan ideologi politik tempatan.

Ad Banner
Ad Banner

"Masa depan ini bergantung kepada Malaysia, kerajaannya dan rakyatnya sendiri. Ia bukan terletak di tangan orang luar. Namun, kita harus memastikan kekuatan dalaman itu diperkukuhkan lagi.

"Harus wujud satu konsensus dalam semua lapisan masyarakat, khususnya elit politik, bahawa keselamatan adalah satu perkara yang tidak patut dipolitikkan," katanya dalam program Bicara Naratif: Dimensi Baharu Keselamatan Negara yang disiarkan di RTM malam tadi.

Selain itu, Raja Nurshirwan berkata pendekatan Kerajaan Persekutuan hari ini melangkaui sempadan politik kepartian.

Beliau mengambil contoh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Kelantan dalam isu pengurusan sempadan termasuk tindakan menutup pangkalan haram dan menyelaras aktiviti ekonomi baharu bagi penduduk yang terkesan.

"Di Kelantan contohnya, kita sepakat untuk memperkukuhkan pengurusan sempadan. Kita bekerjasama dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk memastikan mereka yang sebelum ini bergantung kepada aktiviti haram dapat beralih kepada sektor ekonomi yang sah.

"Ini membuktikan kesepakatan antara parti politik mengenai isu keselamatan bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan," katanya.

Mengulas mengenai persepsi awam terhadap peranan MKN, Raja Nurshirwan mengakui tugas pengurusan keselamatan sering dilihat sebagai membosankan berbanding ketika fasa pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, beliau menegaskan operasi harian MKN sangat penting bagi memastikan rantaian nilai perdagangan dan ekonomi negara tidak terjejas oleh konflik global termasuk ketegangan di Timur Tengah yang boleh mengundang implikasi inflasi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan