Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

UEC: Jangan Terkeluar Daripada Kandungan Perlembagaan - KP J-KOM

13/12/2025 08:12 PM

TAIPING, 13 Dis (Bernama)  -- Sebarang cadangan yang hendak dilaksanakan berkaitan pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) perlu dipastikan tidak terkeluar daripada kandungan Perlembagaan, kata Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Ismail Yusop.

Pada masa sama, katanya pihak yang mengemukakan cadangan itu juga perlu memahami sejarah kenegaraan sehingga terbentuknya Perlembagaan negara ini.

“Apa juga perkara yang hendak dilakukan, jangan terkeluar daripada apa yang terkandung dalam Perlembagaan sebab Perlembagaan itulah yang mengikat kita sebagai satu kesatuan bangsa,” katanya sebagai mengulas tentang desakan supaya kerajaan mengiktiraf UEC.

Beliau yang ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran dan Penyerahan Kampung Angkat MADANI J-KOM di Surau Aziziah, Kampung Sungai Mati, di sini, hari ini berkata semua perkara yang terkandung dalam Perlembagaan haruslah dihormati.

Hal itu termasuk kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Persekutuan.

“​Agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, agama lain boleh diamalkan? Boleh. Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Persekutuan, bahasa lain boleh belajar tak? Belajarlah. Jadi, apa-apa pun nak bercakap... bagi saya jangan terkeluar daripada jalur itu,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebarang tuntutan menjurus kepada sensitiviti agama, bangsa dan kaum perlu mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan dalam perlembagaan negara, dengan prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan bahasa Melayu akan terus didukung dan dipertahankan.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan