Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Tidak Halang Akses UNHCR Ke Depoh Tahanan Imigresen - Saifuddin

11/12/2025 01:49 PM

PUTRAJAYA, 11 Dis (Bernama) -- Malaysia menafikan dakwaan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bang-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bahawa negara ini menghalang akses ke depoh tahanan imigresen.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata setakat ini pihaknya merekodkan hanya dua permohonan lawatan dikemukakan UNHCR tahun ini.

“Seingat saya, tahun ini, baru dua kali kita terima surat, yang UNHCR kata nak datang jenguk depoh imigresen, dua kali baru.

“Tetapi dia beritahu dunia kata kita sekat, tak bagi,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan New York Times yang memetik dakwaan UNHCR bahawa badan itu disekat daripada melakukan lawatan di depoh tahanan sejak 2019, sekali gus menjejaskan keupayaannya mengenal pasti pelarian serta menilai keadaan pusat tahanan. 

Pada Mac lepas, Saifuddin dilaporkan berkata KDN menyatakan kesediaan sekiranya UNHCR mahu melawat ke depoh tahanan imigresen, namun ia memerlukan beberapa proses bagi membenarkan urusan berkenaan.

Sementara itu, Saifuddin berkata keperluan berpakaian sopan ketika hadir ke balai polis bagi membuat laporan perlu diberi perhatian dan dipatuhi orang ramai, namun pihak polis tetap akan menerima aduan walaupun individu berkenaan tidak mematuhi etika pakaian ditetapkan.

Beliau berkata keutamaan pasukan polis adalah untuk membantu orang awam yang memerlukan bantuan termasuk membuat laporan polis.

“Tugas utama pasukan polis apa? Dia terima laporan. Itu tugas dia. Jadi keadaan bagaimana sekalipun, laporan itu tetap kena ambil. Ada pekeliling (peraturan berpakaian sopan ketika berurusan di pejabat kerajaan). Pekeliling itu panduan kita,” katanya.

Beliau mengulas insiden seorang wanita tidak dibenarkan memasuki pekarangan sebuah ibu pejabat polis (IPD) pada Isnin lepas, kerana melanggar etika berpakaian ditetapkan di premis kerajaan.

Difahamkan wanita berkenaan datang bersama ibunya untuk membuat laporan kemalangan jalan raya namun tidak dibenarkan masuk kerana skirt dipakai lebih pendek daripada paras lutut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan