Oleh Puti Ilya Maisarah
KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Peningkatan membimbangkan dalam bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) menimbulkan perhatian dan keperluan mendesak untuk memperkukuh langkah kawal selia serta meningkatkan garis panduan keselamatan platform digital.
Kebimbangan dalam isu ini semakin meningkat selepas operasi berskala besar oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menemukan lebih 880,000 fail CSAM dan menahan 31 individu dari seluruh negara dari 23 hingga 30 Sept.
Siasatan juga mendedahkan akaun tanpa nama, saluran web gelap dan transaksi tanpa tunai antara saluran utama digunakan untuk menyebarkan bahan itu, menunjukkan keperluan lebih mendesak untuk memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak dalam persekitaran online.
Pakar Pelindungan Kanak-Kanak UNICEF Malaysia Selvi Supramaniam berkata skala dan kerumitan risiko dalam talian dihadapi kanak-kanak masa kini memerlukan sistem perlindungan lebih kukuh serta bersepadu untuk menjamin hak dan keselamatan golongan itu.
“Hari ini, seorang daripada tiga pengguna Internet pada peringkat global ialah kanak-kanak. Kajian Disrupting Harm Malaysia mendapati seorang daripada 25 kanak-kanak dari 12 hingga 17 tahun pernah mengalami kes jelas eksploitasi dan penderaan seksual dalam talian termasuk pemerasan, pemaksaan serta perkongsian imej tanpa persetujuan.
“Ini bermaksud sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak dalam setiap bilik darjah terkesan,” katanya kepada Bernama.
Selvi berkata usaha memperkukuh keselamatan dalam talian mesti merangkumi mekanisme pelaporan mesra kanak-kanak, perkhidmatan sokongan mudah diakses dan peningkatan kesedaran kaedah mengenal pasti risiko dalam talian oleh kanak-kanak, ibu bapa, pendidik serta penyedia platform digital.
Langkah Malaysia menyekat mereka di bawah usia 16 tahun mengakses media sosial bermula tahun hadapan dilihat sebagai langkah pencegahan tepat pada masa dan penting untuk membantu melindungi pengguna muda daripada ancaman dalam talian yang semakin meningkat.
Selvi berkata pengesahan umur itu boleh menjadi kaedah berkesan untuk menghalang kanak-kanak daripada mengakses laman sesawang atau aplikasi atau menyekat ciri atau pelbagai platform yang tidak sesuai berdasarkan umur mereka.
“Bagaimanapun, banyak alat pengesahan umur juga menimbulkan kebimbangan privasi, jadi penting untuk mengguna pakai langkah yang sesuai dan seimbang, iaitu melindungi kanak-kanak daripada kandungan berbahaya dan menghormati privasi pengguna.
“Sistem pengesahan umur apabila direka dan dilaksanakan dengan teliti boleh memelihara hak kanak-kanak dan memastikan mereka terus dapat menikmati manfaat dunia digital,” katanya.
Mengambil kira kepantasan CSAM boleh tersebar, Selvi menekankan kepentingan untuk pemantauan berterusan, tindakan campur tangan tepat pada masa dan protokol peningkatan yang jelas pada platform digital.
Selvi menegaskan pihak berkuasa kawal selia tidak seharusnya menjadi barisan pertahanan pertama atau tunggal kerana penyedia platform itu sendiri mesti memikul tanggungjawab untuk memastikan keselamatan kanak-kanak dalam talian.
Beliau berkata penyedia platform mesti melaksanakan sistem dan prosedur kukuh untuk mengesan serta menyekat akses kepada laman CSAM yang diketahui termasuk penggunaan URL atau senarai cincangan (hash lists) yang diiktiraf dan alat pengesanan lain yang diterima pada peringkat antarabangsa.
“Pelaburan berterusan dalam teknologi pengesanan CSAM termasuk alat kecerdasan buatan (AI) yang melengkapkan semakan manusia penting untuk menyokong pengenalan dan penyingkiran kandungan berbahaya secara proaktif.
“Penyedia platform perlu mengekalkan saluran pelaporan CSAM yang khusus dan dihebahkan dengan baik yang mesra kanak-kanak, mudah diakses, tersedia dalam bahasa tempatan, membenarkan penyerahan tanpa nama dan mengutamakan kes CSAM untuk tindakan pantas.” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata banyak penyedia platform digital global masih kurang bersedia untuk mengenal pasti kandungan berbahaya dalam landskap linguistik dan kepelbagaian budaya Malaysia.
“Akibatnya, mereka sering kekurangan moderator yang memahami slanga tempatan atau istilah berkod atau trend belia yang berubah dengan pantas, menyebabkan kandungan berbahaya terlepas pandang atau disalah tafsir.
“Jurang ini menekankan keperluan untuk penyedia platform melaksanakan usaha wajar yang lebih kukuh dalam isu ini termasuk penilaian impak hak kanak-kanak dan memastikan sistem keselamatan mencerminkan realiti kehidupan kanak-kanak Malaysia,” katanya.
Berhubung aspek kawal selia, Selvi berkata menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, Malaysia meletakkan kewajipan yang jelas ke atas penyedia perkhidmatan yang dikawal selia untuk bertindak balas dengan pantas terhadap aduan CSAM dan segera menyekat akses kepada kandungan itu.
“Negara seperti Australia, United Kingdom, Kanada dan Filipina juga telah menggubal undang-undang untuk memastikan sebarang CSAM yang dilaporkan atau dikesan dirujuk kepada polis, dengan penyedia perkhidmatan perlu mengambil langkah sesuai untuk menapis dan menyekat CSAM diketahui dengan menggunakan teknologi sedia ada,” katanya.
Beliau menegaskan keselamatan dalam talian tidak boleh hanya bergantung kepada penguatkuasaan pihak berkuasa dan menyatakan penyedia platform, keluarga, sekolah serta agensi kerajaan mesti bekerjasama membina ekosistem digital lebih selamat yang membolehkan kanak-kanak meneroka, belajar dan mengambil bahagian dengan yakin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial