DUNIA > BERITA

Kapal Perang Iran "Diserang Kapal Selam Asing" Di Perairan Sri Lanka, 108 Kelasi Hilang

04/03/2026 09:10 PM

ISLAMABAD/ISTANBUL, Mac (Bernama-Anadolu) -- Sekurang-kurangnya 108 kelasi dilaporkan hilang selepas sebuah kapal perang Iran “diserang kapal selam asing” berhampiran negara pulau Asia Selatan, Sri Lanka, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media tempatan.

The Daily Mirror melaporkan, dengan memetik sumber pertahanan, bahawa 78 kelasi lain cedera dalam insiden itu, manakala identiti kelasi yang terlibat masih belum diketahui.

Kapal perang itu tenggelam di perairan selatan Sri Lanka dan tentera laut serta tentera udara negara itu sedang menjalankan operasi menyelamat bersama bagi menyelamatkan kru IRIS Dena di perairan berhampiran bandar Galle.

Terdahulu pada Rabu, pihak berkuasa memaklumkan operasi itu tertumpu kepada usaha memindahkan kru selepas kapal berkenaan mengeluarkan panggilan kecemasan yang menyatakan ia telah terkena serangan.

IRIS Dena ialah kapal frigat kelas Moudge yang berkhidmat dalam Armada Selatan Tentera Laut Iran.

Mangsa yang cedera sedang menerima rawatan di Hospital Karapitiya di Galle, menurut pihak berkuasa tempatan.

Pihak berkuasa Sri Lanka belum mengesahkan sama ada kapal Iran itu diserang.

Sebelum insiden itu, kapal perang Iran berkenaan baru-baru ini menyertai latihan tentera laut pelbagai negara MILAN 2026 serta tinjauan armada yang diadakan di Visakhapatnam, India.

Insiden itu berlaku ketika Amerika Syarikat (AS) dan Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Iran yang bermula Sabtu lalu dan telah mengorbankan Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei serta 786 yang lain, termasuk ramai pelajar perempuan.

Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan lokasi berkaitan AS di negara Teluk, menyebabkan banyak kematian. Enam anggota perkhidmatan AS terkorban dan ramai lagi cedera.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan