Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Mufti Perlis Diminta Segera Serah Maklumat Dakwaan Gerakan Kultus Dari Korea Selatan

11/12/2025 11:36 AM

PUTRAJAYA, 11 Dis (Bernama) -- Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin perlu segera tampil menyerahkan maklumat berkaitan dakwaan gerakan kultus menyimpang berasal dari Korea Selatan yang sedang aktif di negara ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan terhadap dakwaan berkenaan.

“Saya mempelawa Mohd Asri tampil membekalkan maklumat lengkap kepada pihak berkuasa. Tentunya beliau mempunyai maklumat yang seperti disebut,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata demikian ketika ditanya sama ada pihak polis telah menerima laporan berkaitan dakwaan kewujudan satu gerakan kultus dari Korea Selatan yang membawa dakwaan janggal serta menyimpang.

Sebelum ini, Mufti Perlis menerusi hantaran di Facebooknya turut mendakwa terdapat penglibatan Ahli Parlimen Muslim dan individu penting Parlimen yang aktif membantu gerakan kultus tersebut dan satu taklimat mengenainya telah disampaikan pada Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis.

Saifuddin berkata Cawangan Khas PDRM mempunyai unit khusus bagi menangani ajaran sesat merentasi pelbagai agama dan penganut, termasuk pemantauan modus operandi kumpulan serta individu terlibat.

“Memang itu tugas hakiki dalam Cawangan Khas khusus untuk itu,” katanya.

Beliau berkata siasatan hanya boleh dijalankan apabila pihak polis menerima laporan dan akan berlandaskan undang-undang sedia ada.

“Jadi saya pelawa sahabat saya Dr Maza (Mohd Asri) untuk tampil buat laporan. Apabila laporan dibuat, kita akan mulakan siasatan segera,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan