Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tanah Runtuh: 47 Penduduk Orang Asli Berpindah Ke PPS

05/12/2025 09:05 PM

GOMBAK, 5 Dis (Bernama)  -- Seorang warga emas melalui detik cemas apabila dinding dapurnya runtuh dan sebahagian rumahnya hampir terjatuh ke tebing, susulan tanah runtuh akibat hujan lebat  di Kampung Orang Asli Batu 12 di sini Rabu lepas.

Halimah Yunos, 71, antara 47 penduduk yang terjejas, berkata insiden kira-kira 7 malam itu berlaku selepas hujan lebat berterusan menyebabkan berlakunya pergerakan tanah di laluan air yang merentasi kampung.

“Sebaik saja menyedari tanah di bahagian dapur telah runtuh, saya terus memanggil anak yang tinggal di rumah sebelah untuk mengalihkan barang-barang di dapur ke bahagian tengah rumah, sebelum kami bergerak ke PPS (pusat pemindahan sementara).

“Dalam keadaan hujan lebat, keadaan begitu mencemaskan, nasib baik saya tidak berada di dapur ketika itu,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Serbaguna Orang Asli Batu 12, di sini hari ini.

Beliau memaklumkan bahawa pergerakan tanah sudah dikesan sejak 25 Nov lepas namun kejadian pada hari Rabu itu menyebabkan rumahnya tidak lagi selamat untuk diduduki.

Seorang lagi penduduk, Mahadil Ali, 55, berkata insiden berkenaan merupakan kejadian tanah runtuh pertama sejak penempatan itu dibuka pada 1991.

Beliau mendakwa air dan sisa binaan daripada projek pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang terletak kira-kira 200 meter di atas bukit, yang disalurkan ke laluan air di kampung berkenaan, menjadi antara faktor mempengaruhi struktur tanah di kawasan itu.

“Jika ada cadangan untuk kami berpindah, saya akan bersetuju kerana kawasan tanah di rumah saya sudah tidak selamat diduduki,” katanya.

Wakil dari Pejabat Ahli Parlimen Gombak Hazmimi Johar yang melawat mangsa di PPS berkenaan memaklumkan proses pemindahan mangsa terdiri daripada lapan keluarga pada malam Rabu lepas dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Pegawai Daerah Gombak dan pasukan penyelamat.

Beliau berkata semua mangsa akan terus ditempatkan di PPS itu sehingga kawasan penempatan baharu yang lebih sesuai dan selamat dikenal pasti manakala bantuan makanan dan keperluan asas akan diteruskan.

Menurut Hazmimi, secara keseluruhan, terdapat 290 rumah dengan anggaran 1,400 penduduk Orang Asli mendiami kampung tersebut.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.10 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi mendapati runtuhan tebing setinggi kira-kira 7.6 meter melibatkan kawasan seluas 100 kaki persegi, mengakibatkan lapan rumah terjejas namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan