Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pemimpin Sabah Kenang Bung Moktar Sebagai Pejuang Negeri Yang Lantang

05/12/2025 03:44 PM

KOTA KINABALU, 5 Dis (Bernama) -- Pemergian Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini amat mendukacitakan buat kalangan pimpinan di Sabah, yang menyifatkan tokoh politik itu sebagai figura penting yang sentiasa memperjuangkan kepentingan negeri dan rakyatnya.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata meskipun beliau tidak begitu mengenali Allahyarham pada peringkat awal, hubungan kerjasama mula terjalin erat ketika Bung Moktar memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri dalam pentadbiran yang lepas.

Joachim yang juga pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata Allahyarham  seorang pemimpin dengan komitmen tinggi terhadap pembangunan Sabah serta lantang menyuarakan isu-isu berkaitan negeri.

“Dia (Bung Moktar) mahu melakukan untuk negeri, kadang-kadang kita boleh merancang, namun, Tuhan yang lebih mengetahui. Berehatlah dengan tenang sahabat.

“Beliau berusaha melakukan yang terbaik untuk Sabah. Beliau sememangnya seorang yang lantang untuk masalah-masalah Sabah. Jadi, disebabkan ini kami sangat menghormati beliau,” katanya selepas menghadiri majlis penghormatan terakhir untuk Allahyarham di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif pula menyifatkan Bung Moktar sebagai pejuang tegas yang meninggalkan kesan mendalam dalam landskap politik Sabah.

“Kita kehilangan sebutir bintang di langit perjuangan di negeri Sabah ini. Seorang tokoh yang cemerlang dalam kepimpinannya dan beliau juga ialah guru kepada perjuangan kita semua. Mudah-mudahan Allah memberkati roh beliau dan semua amal bakti yang telah dicurahkan oleh beliau,” katanya.

Dalam pada itu, Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah Datuk Limus Jury berkata Bung Moktar sentiasa menunjukkan komitmen tinggi terhadap pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

“Datuk Seri Bung Moktar ini seorang yang begitu baik dan juga pemurah, dia membantu kepada rakyat di bawah dan seorang juga yang berpengalaman dalam politik di negeri Sabah,” katanya.

ADUN Kuamut Datuk Masiung Banah pula berkata Bung Moktar merupakan tokoh penting dalam pembangunan kawasan Kinabatangan, terutama berkaitan projek infrastruktur utama.

Beliau berkata kerjasama mereka selama ini berjalan baik, khususnya dalam urusan pembangunan yang memerlukan koordinasi antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

“DUN Kuamut satu daripada DUN dalam Parlimen Kinabatangan. Memang kita semua tahu Allahyarham ialah Ahli Parlimen yang berkaliber, lantang menyuarakan masalah rakyat khususnya di Kinabatangan. Tidak dinafikan beliau telah banyak menyumbang jasa selama berkhidmat sebagai Ahli Parlimen. Banyak pembangunan yang beliau bawa di Kinabatangan.

“Antaranya ialah kemudahan infra, jalan raya, elektrik, air dan sebagainya, melibatkan kos-kos yang tinggi. Malahan saya panggil dia ‘Abangku’,” katanya.

Bung Moktar yang juga bekas timbalan ketua menteri, 66, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini pada 1.46 pagi tadi dan pemergian itu disahkan anaknya Naim Kurniawan Moktar.

Jenazah Allahyarham dibawa ke rumahnya di Luyang dan solat jenazah dilakukan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas di sini selepas solat Jumaat.

Bung Moktar mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri ke-17 pada 29 Nov.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan