Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Rancakkan MADANI Sasar 300,000 Pengunjung - KSN

04/12/2025 03:45 PM

CYBERJAYA, 4 Dis (Bernama) -- Sebanyak 300,000 pengunjung disasarkan menghadiri Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 (Rancakkan MADANI) yang berlangsung selama tiga hari bermula esok di pekarangan Dataran Putrajaya.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata pelbagai perkhidmatan dan aktiviti menarik disediakan kepada orang ramai merangkumi semua lapisan masyarakat.

“Anda semua dijemput bawa keluarga ramai-ramai, kita ada program Rancakkan MADANI bermula esok hingga Ahad.

“Macam-macam acara ada, program kita kali ini untuk semua orang daripada peminat kucing, yang rambut sudah panjang boleh potong secara percuma, kalau penunggang dan pembonceng motosikal pula kita ada sediakan 5,000 topi keledar percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bagi menyantuni pengguna tren transit aliran massa (MRT) dengan menaiki tren dari stesen Cyberjaya City Centre Limkokwing ke Putrajaya Sentral hari ini.

Shamsul Azri, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Rancakkan MADANI, berkata sebanyak 5,000 kekosongan pelbagai jawatan ditawarkan pada program itu.

Beliau berkata kemuncak Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 pada Ahad bakal menyaksikan kemunculan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, yang bakal berkongsi pentas pada forum kelima bermula 9 pagi.

“Pada 6 Dis ini, ada lima forum utama dan saya jemput orang ramai yang ingin tahu tentang hala tuju kerajaan... Ahad ini acara kemuncak forum dan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri akan jadi ahli panel,” katanya.

Ahmad Zahid dan Fadillah akan mengupas topik perbincangan forum bertajuk "Kerajaan MADANI: Retrospektif dan Memeta Perjalanan ke Hadapan".

Forum itu juga bakal mengupas pelbagai isu antaranya Reformasi Kerenah Birokrasi: Analisis Pencapaian dan Islah Berterusan; Memperkukuh Sektor Kesihatan, Pendidikan dan  Kemiskinan serta Tiga Tahun Kerajaan MADANI: Perspektif Perkhidmatan Awam.

Rancakkan MADANI turut menampilkan segmen Kepengerusian ASEAN yang diselaras oleh Kementerian Luar dengan pelbagai aktiviti antaranya pameran replika ASEAN Summit Dome, sorotan pencapaian sepanjang Kepengerusian ASEAN 2025 dan sesi libat urus serta aktiviti interaktif bersama pengunjung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan