Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Aktiviti Tidak Bermoral: Unit Integriti, Jabatan Boleh Teruskan Siasatan Dalaman - JPA

03/12/2025 05:45 PM

PUTRAJAYA, 3 Dis (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menegaskan Unit Integriti di setiap kementerian dan jabatan boleh meneruskan siasatan dalaman terhadap mana-mana pegawai awam yang disyaki terlibat dalam salah laku tidak bermoral, sekiranya terdapat keterangan dan bukti mencukupi.

Dalam kenyataan kepada Bernama dan Berita Harian hari ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata tindakan tegas termasuk buang kerja atau turun pangkat boleh dikenakan sekiranya pegawai terbabit didapati bersalah di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993].

"JPA memandang serius salah laku jenayah atau pelanggaran tatakelakuan yang melibatkan penjawat awam. Ini termasuk penglibatan dalam kegiatan tidak bermoral atau hubungan songsang.

"Sebarang tingkah laku yang telah terbukti mencemarkan nama baik perkhidmatan awam merupakan suatu pelanggaran integriti dan tatakelakuan serius," katanya.

Beliau berkata JPA berpegang teguh kepada prinsip kedaulatan undang-undang, dan sebarang tindakan diambil pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau pihak berkuasa agama akan diserahkan sepenuhnya untuk siasatan terperinci.

Wan Ahmad Dahlan berkata kerajaan mempunyai garis panduan bagi menangani permasalahan berkaitan tatakelakuan dalam kalangan pegawai awam seperti Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993]. 

"Berdasarkan peraturan sedang berkuat kuasa, semua pegawai awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993], khususnya perenggan 4(2)(d), yang menetapkan bahawa seseorang pegawai tidak boleh berkelakuan dengan sedemikian cara sehingga memburukkan atau mencemarkan nama perkhidmatan awam," katanya.

Beliau berkata Ketua Jabatan dinasihatkan untuk sentiasa memantau seterusnya mengambil tindakan sekiranya terdapat laporan atau aduan berkaitan salah laku.

Wan Ahmad Dahlan berkata salah laku boleh memberikan impak negatif besar kepada pentadbiran kerajaan kerana ia berpotensi mengakibatkan kepercayaan rakyat terhakis,  persepsi negatif yang tular, serta hilang wibawa dan kredibiliti untuk memimpin serta menjalankan tugas oleh pegawai terlibat.

Sehubungan itu, bagi memastikan insiden berkenaan tidak berulang pada masa hadapan, Wan Ahmad Dahlan berkata Ketua Jabatan diarah memantau gaya hidup dan tingkah laku pegawai seliaan.

Beliau berkata penerapan nilai murni melalui Unit Integriti di setiap kementerian dan jabatan perlu dipergiat, termasuk saringan psikologi dan sahsiah secara berkala. 

"Selain itu, ceramah atau kursus yang memberi fokus terhadap pembangunan sahsiah diri pegawai dan gaya hidup sihat disarankan untuk dilaksanakan di semua kementerian dan jabatan.

"Orang awam juga digalakkan untuk terus menjadi 'mata dan telinga' kerajaan dengan melaporkan sebarang salah laku penjawat awam melalui saluran rasmi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) agar tindakan pantas dapat diambil," katanya.

Jumaat lepas, 17 penjawat awam antara 208 individu ditahan polis dalam serbuan di sebuah kelab kesihatan yang dipercayai dijadikan lokasi aktiviti seksual songsang di kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan