Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Jumlah Terkini Hutang Negara, Audit Terhadap Pegawai Menteri Antara Tumpuan Dewan Rakyat

02/12/2025 08:48 AM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Persidangan Dewan Rakyat hari ini akan membincangkan mengenai jumlah terkini hutang negara serta audit dalaman yang dilaksanakan terhadap pegawai-pegawai menteri.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Syahredzan Johan (PH-Bangi) meminta Perdana Menteri menyatakan prinsip kerajaan dalam mengurangkan pinjaman baharu dan memperincikan strategi pembayaran hutang bagi menjamin hutang negara dan defisit fiskal terus berada pada trajektori menurun, pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Pada sesi itu juga, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) ingin tahu adakah kerajaan akan melaksanakan audit dalaman terhadap pegawai menteri susulan teguran Perdana Menteri untuk setiap menteri melaksanakan pemantauan dengan lebih tegas.

Sementara itu, pada sesi soal jawab lisan, Wong Chen (PH-Subang) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan garis masa dan pelan pelaksanaan yang tepat bagi pengembangan Dasar Pengurusan Pelarian (DPP) untuk memastikan pelarian berdaftar mengakses pendidikan dan kesihatan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau institusi swasta.

Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) pula mengajukan soalan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenai punca mengapa masih ramai rakyat yang layak, tidak mendapat rumah mampu milik walaupun banyak projek telah diumumkan, serta langkah kementerian menangani isu projek perumahan terbengkalai yang menjejaskan pembeli rumah pertama.

Turut tersenarai, soalan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) yang meminta Menteri Kerja Raya menyatakan tahap kajian keberhasilan dijalankan menggunakan teknologi baharu turapan asfalt terubah suai getah bekuan atau Cup Lump Modified Asphalt (CMA) bagi menggantikan teknologi sedia ada.

Usai sesi soal jawab lisan, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 dan RUU Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 oleh Menteri Sumber Manusia.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat yang berlangsung selama 35 hari akan berakhir Khamis ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan