Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Parlimen Hang Tuah Jaya Salur RM123,000 Bantu Masjid, Surau Dan Golongan Memerlukan

08/03/2026 10:29 PM

MELAKA, 8 Mac (Bernama) -- Parlimen Hang Tuah Jaya menyalurkan peruntukan sebanyak RM123,000 yang memanfaatkan lebih 100 penerima termasuk pelajar, asnaf dan institusi masjid serta surau di kawasan itu sempena Ramadan tahun ini.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Adam Adli Abdul Halim berkata ia termasuk penyerahan cek cura bernilai RM25,000 kepada Masjid Al-Ibadah, Bukit Piatu, sebagai sokongan dalam usaha masjid berkenaan melengkapkan dana bagi pembelian tanah kubur.

"Sumbangan itu membawa makna besar kerana ia menyentuh keperluan asas masyarakat, selain membantu pengurusan komuniti dan kebajikan penduduk secara berterusan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Sumbangan melibatkan 14 masjid dan 28 surau dengan setiap masjid menerima RM3,000, manakala setiap surau menerima RM2,000," katanya ketika berucap pada Majlis Iftar dan Sumbangan Ramadan Parlimen Hang Tuah Jaya di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Adam yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata penyaluran bantuan itu turut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan masjid dan surau terus diperkasakan sebagai pusat ibadah, kebajikan, penyatuan masyarakat serta pengukuhan kehidupan Islam pada peringkat akar umbi.

Beliau berkata pada majlis itu turut disampaikan bantuan pendidikan berupa tablet kepada 50 pelajar serta sumbangan Kebajikan Kasih Ramadan kepada 50 keluarga serta 80 penerima asnaf ,dengan setiap mereka menerima RM500 dan bakul makanan.

“Sumbangan yang disampaikan hari ini juga bukan sekadar angka, tetapi amanah yang diterjemahkan dalam bentuk manfaat nyata untuk rakyat.

"Kita mahu kebajikan rakyat terus dijaga agar nikmat Ramadan ini dapat dirasai bersama, khususnya oleh mereka yang benar-benar memerlukan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan